Yayasan MBI terima mandat baharu terajui ekonomi kreatif Selangor

23 Okt 2026, 1:00 PM
Yayasan MBI terima mandat baharu terajui ekonomi kreatif Selangor
Yayasan MBI terima mandat baharu terajui ekonomi kreatif Selangor
Yayasan MBI terima mandat baharu terajui ekonomi kreatif Selangor

SHAH ALAM, 23 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menerima mandat baharu untuk mengetuai pembangunan ekonomi kreatif negeri, khususnya bagi memperkasa industri animasi dan bakat tempatan.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya berharap sektor berkenaan mendapat peruntukan menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi mengembangkan potensi industri kreatif serta membuka lebih banyak peluang kepada penggiat tempatan.

“Kita berharap ada peruntukan supaya kita boleh mengangkat ekonomi jingga ke arah yang lebih baik dan memastikan Selangor tidak ketinggalan dari sudut ekonomi kreatif.

“Kita ada banyak sektor ekonomi kreatif di Selangor yang perlu kita bantu, yang perlu kita lorongkan supaya bakat-bakat ini tidak terpendam,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan zakat wakalah Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Azri, industri animasi antara bidang yang mempunyai potensi besar di Selangor berikutan kehadiran syarikat peneraju industri serta syarikat kecil yang berpeluang untuk terus berkembang.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui pada Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Yang paling banyak di Selangor ini animasi sebenarnya. Kita sudah ada syarikat animasi terkemuka, tetapi ada juga syarikat animasi kecil yang lain,” jelasnya.

Beliau turut merujuk perkembangan industri animasi yang disaksikan ketika kunjungan ke Bandung, Indonesia, sebagai dorongan untuk mengembangkan bakat tempatan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya rasa kita perlu mengambil momentum tersebut dengan bakat-bakat yang ada di Malaysia supaya dapat dikembangkan lagi.

“Suatu hari nanti, mana tahu animasi kita boleh masuk ke peringkat Jepun dan sebagainya. Ini yang saya fikir perlu kita lihat kerana potensinya besar dalam bidang ini,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menetapkan 2027 sebagai tahun lonjakan ekonomi kreatif Selangor dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem industri, termasuk pemasaran, penghasilan animasi dan kepakaran berkaitan.

Tayangan cerita animasi berunsur kisah teladan di layar besar Perpustakaan Raja Tun Uda berjaya menarik perhatian sekumpulan pengunjung cilik. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Kerajaan Negeri turut merangka pembangunan sembilan hab ekonomi kreatif di bawah inisiatif Selangor Creative Economy Advancement Hubs (SEL-Create Hubs), dengan sasaran empat hingga enam hab menjelang 2028.

Sektor itu turut disasarkan mencapai nilai RM20 bilion menjelang 2035.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Azri berkata Yayasan MBI turut mencadangkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diperluas kepada pelajar Tingkatan Tiga, khususnya bagi subjek matematik, sekiranya mendapat peruntukan tambahan menerusi Belanjawan Selangor 2027.

Menurutnya, cadangan itu dapat membantu mencapai sasaran penyertaan sekitar 200,000 pelajar seperti digariskan dalam manifesto Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.