Selangor sasar ekonomi kreatif cecah RM20 bilion menjelang 2035

13 Ogos 2026, 5:10 AM
Selangor sasar ekonomi kreatif cecah RM20 bilion menjelang 2035

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor Creative Economy Advancement Hubs (SEL-Create Hubs) yang dirangka dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menekankan pembangunan sembilan hab selain penghasilan harta intelek bagi menilai indeks pencapaian utamanya (KPI).

EXCO Pembangunan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pelan bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kreatif itu turut mengutamakan pembangunan bakat dan usahawan kreatif serta peluasan akses kepada pasaran, eksport dan pelaburan.

“Pembangunan ekonomi kreatif merangkumi merangkumi pembangunan bakat, pembiayaan, pendigitalan, pemasaran dan pengkomersialan. Melalui Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, ekonomi kreatif dikenal pasti sebagai satu sumber pertumbuhan baharu negeri.

“Sebagai penanda aras, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi kreatif Selangor pada 2022 dianggarkan sekitar RM8 hingga RM10 bilion, dengan sasaran interim RM15 hingga RM16 bilion menjelang 2030 dan RM20 bilion menjelang 2035,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika membentang usul RS-2 pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu SEL-Create Hubs dan Selangor Digital Future Action Plan 2026-2030 bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital serta kreatif negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua inisiatif itu menjadi sebahagian daripada strategi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju dalam bidang berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan peluang pekerjaan.

Menurutnya, Selangor Digital Future Action Plan 2026-2030 memposisikan negeri ini sebagai peneraju ekonomi digital serantau melalui pengukuhan infrastruktur, tadbir urus digital dan keupayaan perkhidmatan generasi baharu.

Manakala SEL-Create Hubs menjadi platform kreatif bersepadu bertujuan memperkukuh ekonomi kreatif sebagai penyumbang KDNK, pelaburan dan pekerjaan, dengan sasaran empat hingga enam hab menjelang 2028.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.