SHAH ALAM, 23 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyediakan hadiah RM500 kepada 100 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang memperoleh sekurang-kurangnya 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha mengiktiraf pencapaian pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik.
"Untuk program ataupun sumbangan RM500 itu, memang kebiasaan bagi pihak kami menyediakan hadiah apabila pelajar dalam program PTRS ini mendapat keputusan 8A.
"Kita ada peruntukan 100 pelajar untuk kita berikan hadiah RM500,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Munajat Perdana SPM 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata, pemberian RM500 itu melengkapkan pelbagai usaha Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang serta membangunkan modal insan berkualiti di Selangor.
PTRS merupakan inisiatif pendidikan percuma Kerajaan Negeri yang menyediakan bahan pembelajaran digital menerusi platform ePTRS serta kelas tuisyen bersemuka bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
Program yang diperkenalkan sejak 2009 itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bercadang menambah mata pelajaran baharu, biologi dalam modul PTRS tahun depan.
Beliau berkata langkah penambahan itu bertujuan mempertingkat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).










