EXCO: Selangor pertimbang setiap daerah jadi hab ekonomi kreatif

25 Sep 2026, 6:00 AM
EXCO: Selangor pertimbang setiap daerah jadi hab ekonomi kreatif
EXCO: Selangor pertimbang setiap daerah jadi hab ekonomi kreatif

SHAH ALAM, 25 SEPT: Selangor sedang mempertimbang cadangan menjadikan setiap daerah sebagai hab ekonomi kreatif untuk mengetengahkan produk dan potensi usahawan tempatan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata setiap daerah mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri yang boleh dikembangkan sebagai identiti ekonomi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Ini antara cadangan yang sangat menarik kerana kita lihat daripada segi fasiliti dan kemudahan Selangor agak lengkap dan kita juga boleh menjadikan segmen ekonomi kreatif sebagai salah satu 'trademark' kepada daerah-daerah atau pun pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Misalnya kita ada usahawan songkok yang bertapak di Sabak Bernam. Selain daripada mempromosikan songkok beliau juga turut mewujudkan sistem sokongan atau peluang pekerjaan dan ekonomi kepada anak-anak muda di sana.

“Daripada sini, kita cuba kenal pasti industri-industri yang menarik yang boleh kita kembangkan di peringkat daerah dan juga PBT. Jadi kita pertimbangkanlah cadangan itu tadi,” katanya.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi ketika menghadiri sesi libat urus Belanjawan Selangor 2027 bersama penggiat industri kreatif di Shah Alam. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi libat urus Belanjawan Selangor 2027 bersama Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Mohd Najwan memaklumkan, antara perkara lain yang dibangkitkan bersama penggiat industri kreatif ialah sokongan Kerajaan Negeri serta cadangan mengekalkan pengurangan duti hiburan.

“Cadangan lain adalah bagaimana Kerajaan Negeri dapat meneroka kolaborasi bersama pemain industri melibatkan pelbagai sektor termasuk filem, animasi, permainan video, kebudayaan dan warisan.

“Kita akan cuba santuni segmen ini dengan lebih baik dan dapatan-dapatan ini akan dirangkum dan diketengah kepada Dato’ Menteri Besar,” ujarnya.

Usahawan tanjak & busana binmansor menerangkan produk kepada pengunjung ketika majlis penutupan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Mohd Najwan yang juga EXCO Belia berharap peruntukan bagi sektor ekonomi kreatif dapat ditingkatkan bagi memperluas sokongan kepada penggiat industri.

“Kalau boleh kita hendak kekalkan tetapi lebih baik ditingkatkan. Kita nak lihat kepada kesesuaian segmen kerana industri kreatif telah bertapak lama cuma kini muncul dalam pelbagai bentuk.

“Kita lihat nanti daripada segi keperluan dan bagi peruntukan kita cuba sebaiknya untuk minta penambahan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Warnakala Studios, Hairul Sofian yang juga pereka animasi Didi & Friends berkata Selangor mempunyai potensi besar untuk terus mengembangkan industri kreatif, termasuk dari sudut pelaburan.

“Selangor boleh tingkatkan lagi industri kreatif dan perbanyakkan lagi produk termasuk mempunyai kartun sendiri yang boleh dijadikan sebagai identiti negeri.

“Saya juga cadang tubuhkan kreatif hab dan perbanyak lagi promosi. Selain itu, ia boleh menjadi tarikan pelancongan kepada Selangor,” ujarnya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.