
SHAH ALAM, 25 SEPT: Tahun 2027 bakal menjadi titik tolak kepada Selangor bagi melonjakkan sektor ekonomi kreatif, selaras dengan agenda perancangan Belanjawan Selangor 2027 dan rangka kerja jangka panjang negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai persediaan ke arah tahun itu, momentum pembangunan industri ekonomi kreatif perlu digerakkan melalui beberapa langkah strategik utama.
“Ekonomi kreatif ini merupakan tempatnya di negeri Selangor, cuma kita tidak mempunyai lagi 'plan of action' untuk memajukannya. Malah saya sudah sebutkan mengenai ekonomi kreatif sejak 2016 lagi.
“Sebenarnya kita mempunyai pelbagai potensi yang boleh dikembangkan. Sebab itu saya minta EXCO Najwan untuk pilih satu bidang yang sudah bertapak, untuk kita bangunkan.
“Lihat semua ekosistem, daripada pemasaran, pembuatan animasi sampailah kepada kepakaran yang diperlukan. Kita tidak ada data itu lagi mengenai potensi dan kekuatan sub-sektor berkenaan. Tahun 2027 harus direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor di Selangor International Trade Center (SITC) di sini, hari ini.
Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan perbincangan Sesi Focus Group yang disertai para pemegang taruh, sebelum dibentangkan secara terperinci kepada Amirudin.
Sementara itu, Amirudin mahu pentadbiran negeri memberi penekanan terhadap penyelesaian isu tanaman padi melalui beberapa pendekatan strategik dan pemantauan rapi pihak berkaitan.
Menurutnya, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan masalah petani secara tersusun serta menyeluruh, dan bukan sekadar menyampaikan insentif bantuan tunai kepada golongan terbabit.
“Apa yang berlaku sebelum ini, kita selesaikan secara runcit dan akhirnya masalah tidak selesai dan semua dapat seperti hanya ubat tahan sakit.
“Bila ada serangan penyakit, kita bagi bantuan tunai. Adakah ia selesai masalah? Ya, selesai dalam 2,3 hari sahaja. Sekali lagi, 2027 adalah tahun untuk kita fokus, pilih satu masalah dan selesaikan secara menyeluruh,” katanya.
Industri padi dan beras di Malaysia sebelum ini dilaporkan berdepan masalah kelewatan baja dan kadar potongan pemutuan, yang dipercayai berlaku di wilayah utara melibatkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Susulan itu, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.









