RS-2 perkasa ekonomi digital dan kreatif, sasar Selangor jadi hab serantau

7 Ogos 2026, 10:00 AM
RS-2 perkasa ekonomi digital dan kreatif, sasar Selangor jadi hab serantau

SHAH ALAM, 7 OGOS: Selangor akan memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu Selangor Digital Future Action Plan 2026-2030 dan Selangor Creative Economy Advancement Hubs (SEL-Create Hubs) bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital serta kreatif negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua inisiatif itu menjadi sebahagian daripada strategi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju dalam bidang berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) ketika persidangan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 7 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Selangor Digital Future Action Plan 2026-2030 memposisikan negeri ini sebagai peneraju ekonomi digital serantau melalui pengukuhan infrastruktur, tadbir urus digital dan keupayaan perkhidmatan generasi baharu.

“Manakala SEL-Create Hubs menjadi platform kreatif bersepadu bertujuan memperkukuh ekonomi kreatif sebagai penyumbang KDNK, pelaburan dan pekerjaan, dengan sasaran empat hingga enam hab menjelang 2028.

“Ini membolehkan ekosistem industri kreatif berdaya saing di peringkat serantau,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Amirudin berkata pelaksanaan SEL-Create Hubs akan memberi ruang kepada penggiat industri kreatif membangunkan bakat, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing sektor berkenaan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, pada November tahun lalu, Amirudin melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 sebagai usaha menjadikan ekonomi kreatif antara pemacu utama pertumbuhan negeri menerusi pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu.

Katanya, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan bagi memastikan pembangunan industri kreatif Selangor terus berkembang tanpa mengetepikan identiti negeri.

Menerusi RS-2, Kerajaan Negeri menyasarkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan kreativiti bagi memperkukuh daya saing Selangor di peringkat serantau.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan https://www.amirudinshari.com/rs2 atau https://www.selangor.gov.my/rs2

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat pameran sebelum majlis perasmian Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 23 September 2025. Turut hadir, EXCO Belia & Keusahawanan Mohd Najwan Halimi. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.