Pembangunan wilayah perlu diperkukuh, kurangkan kesenjangan bandar dan desa

21 Okt 2026, 7:35 AM
Pembangunan wilayah perlu diperkukuh, kurangkan kesenjangan bandar dan desa

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan perlu memperkukuh perancangan pembangunan wilayah secara menyeluruh bagi mengurangkan kesenjangan antara bandar dan desa sekali gus memastikan rakyat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi secara lebih seimbang.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan negara memerlukan pendekatan lebih tersusun bagi meluaskan limpahan ke wilayah lain kerana ia masih tertumpu di beberapa pusat ekonomi utama termasuk Johor Bahru dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor serta Pulau Pinang.

“Isunya sekarang bagaimana kita melimpahkan pembangunan supaya tidak tertumpu di satu-satu kawasan.

“Ini menunjukkan jurang itu masih lagi besar dan bagaimana merapatkan jurang itu harus dilakukan dengan langkah keseluruhan yang melibatkan kerajaan tempatan, yang melibatkan Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan,” kata Dato’ Menteri Besar Selangor ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin berkata perbezaan pendapatan median antara kawasan seperti Petaling Jaya dan Sabak Bernam menunjukkan masih terdapat jurang pembangunan yang perlu ditangani menerusi pendekatan lebih bersepadu.

Justeru, beliau mencadangkan supaya strategi pembangunan wilayah sedia ada dinilai semula bagi memastikan pendekatan yang dilaksanakan lebih sesuai dengan potensi dan keperluan setiap kawasan.

“Kadar untuk pembangunan kawasan regional ataupun kawasan persekitaran seperti ECER yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri yang kelima, mungkin boleh dinilai kembali dengan melebarkan dan membangunkan dengan kaedah termasuk bukan hanya projek tetapi pengurusan dan pentadbiran.

“Bukan hanya peruntukan yang turun ikut negeri dan wilayah, sebaliknya perancangan yang terperinci melibatkan niche ataupun melibatkan perkara yang harus ada di satu-satu kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata perancangan pembangunan tidak seharusnya bergantung kepada penyaluran peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu mengenal pasti aktiviti ekonomi dan bidang khusus yang berpotensi dikembangkan di setiap wilayah.

Menurutnya, perancangan terperinci penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar sepadan dengan kelebihan sumber manusia, tanah dan keupayaan ekonomi setempat.

“Hasil negara yang lebih kukuh diperlukan bagi membolehkan kerajaan membiayai pembangunan secara berterusan, khususnya di kawasan yang masih ketinggalan berbanding pusat pertumbuhan utama.

“Keberkesanan kerangka pembangunan negara termasuk Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu serta dasar pelaburan dan tenaga hijau perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan hasil dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Usaha itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk dan mengukuhkan daya saing wilayah secara menyeluruh,” katanya.

Seruan Amirudin ini selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang antara lain memfokuskan kepada pembangunan seimbang antara daerah.

Fokus yang diteruskan daripada RS-1 untuk memastikan limpahan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau daerah maju (seperti Petaling atau Klang), tetapi turut merangkumi kawasan luar bandar.

Melaluinya, deerah seperti Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, dan Sepang diberikan penekanan strategik melalui projek berimpak tinggi agar pertumbuhan sosioekonomi berlaku secara saksama

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.