KUALA LUMPUR, 16 OKT: Selangor memperkukuh pembangunan ekonomi penjagaan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), bagi menambah baik sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Khazanah bagi mengukur dan mengiktiraf nilai sektor berkenaan, selain memperkukuh sokongan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, usaha itu perlu diteruskan kerana ekonomi penjagaan merupakan sebahagian daripada agenda perancangan ekonomi negeri, lebih-lebih lagi Selangor dijangka mempunyai kira-kira 1.3 juta warga emas menjelang 2040.

“Ekonomi penjagaan perlu dilihat sebagai peluang pelaburan jangka panjang. Kemudahan yang diperlukan menjelang 2035 mesti dirancang dan dibiayai dari sekarang. Usaha kita laksanakan selama ini juga sudah menunjukkan maklum balas.
“Kita mahu sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan gaji yang tinggi, selain kerjasama dengan syarikat tempatan sekali gus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan.
“Bagi Kerajaan Negeri, ekonomi yang kukuh mesti diterjemah kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat. Dengan keupayaan tenaga kerja selain infrastruktur seperti KLIA, saya yakin Selangor berada di landasan tepat menerajui usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hot Seat Session sempena Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 di sini, hari ini.
Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyediakan garis panduan yang lebih jelas untuk menarik pelaburan dalam sektor berkenaan.
“Dalam bidang kuasa kita, negeri terbuka melaksanakan projek perintis bagi model penjagaan baharu serta sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperluas pelaksanaan model yang berkesan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata ekonomi penjagaan akan terus diperkukuh menerusi Belanjawan Selangor 2027, dengan tumpuan kepada pembiayaan mampan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam sektor itu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang memperhalusi beberapa aspek bagi memastikan wanita mendapat sokongan sewajarnya, termasuk menambah baik modul latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor penjagaan.








