Selangor perluas inisiatif kebajikan, ekonomi penjagaan secara lebih menyeluruh 2027

25 Sep 2026, 2:00 PM
Selangor perluas inisiatif kebajikan, ekonomi penjagaan secara lebih menyeluruh 2027
Selangor perluas inisiatif kebajikan, ekonomi penjagaan secara lebih menyeluruh 2027
Selangor perluas inisiatif kebajikan, ekonomi penjagaan secara lebih menyeluruh 2027

SHAH ALAM, 25 SEPT: Selangor mahu beralih daripada fasa penyelidikan dan projek rintis kepada pelaksanaan lebih meluas bagi inisiatif yang terbukti berkesan pada 2027, khususnya dalam memperkukuh kebajikan sosial dan ekonomi penjagaan.

EXCO Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata hasil penyelidikan dan data tidak seharusnya kekal sebagai kajian atau dasar di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada program yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasaran.

“Bagi saya, 2027 perlu menjadi tahun kita bergerak daripada penyelidikan kepada pelaksanaan, daripada projek rintis kepada pelaksanaan berskala lebih besar.

“Mungkin kita mulakan di satu atau dua kawasan, satu atau dua Projek Perumahan Rakyat (PPR), kemudian kita perluaskan ke peringkat lebih tinggi dan melibatkan kawasan lebih luas,” katanya pada Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2027 di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.

Anfaal berkata Selangor telah membangunkan pelbagai dasar berkaitan ekonomi penjagaan, wanita dan orang kurang upaya (OKU), selain usaha menambah baik garis panduan pusat jagaan dan pusat asuhan kanak-kanak.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri perlu meneroka sumber pembiayaan yang lebih luas.

Beliau memberi contoh program Bantuan Rahmah Anak Istimewa Selangor yang menerima peruntukan RM800,000, namun menerima kira-kira 3,000 permohonan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga perlu melihat kaedah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga emas yang masih sihat, memperluas bantuan kepada warga emas terlantar serta meneroka potensi ekonomi warga emas.

Katanya, agenda sosial dan ekonomi Selangor saling berkait kerana masyarakat penyayang penting dalam melahirkan tenaga kerja yang produktif, berkemahiran dan inklusif selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Bagi saya, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Apabila kita bercakap mengenai tenaga kerja produktif, akhirnya ia bermula daripada modal insan yang produktif,” katanya.

Anfaal turut menekankan kepentingan memastikan dasar sosial lebih mudah diakses masyarakat, termasuk membantu ibu tunggal yang berdepan kesukaran mendapatkan bayaran nafkah.

Katanya, garis panduan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu disokong dengan penguatkuasaan dan pendekatan mendekati golongan sasaran.

“Kita tidak mahu berhenti setakat garis panduan. Kita mahu bergerak ke arah penguatkuasaan dan bukan semata-mata melalui pendekatan menghukum, tetapi lebih kepada usaha mendekati masyarakat,” katanya.

Belanjawan Selangor 2027 dijadual dibentangkan pada 13 November.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.