KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) merekodkan potensi pelaburan bernilai RM7.8 juta menerusi 128 sesi padanan perniagaan, kata EXCO Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan, Anfaal Saari.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan minat pemain industri terhadap ekonomi penjagaan yang mahu dibangunkan Selangor sebagai hab bagi memenuhi keperluan rantau ASEAN.
Daripada jumlah itu, RM1.98 juta melibatkan peranti perubatan dan bantuan, manakala RM5.82 juta merangkumi perkhidmatan penjagaan, kesihatan digital dan latihan.

“Kami amat bersyukur dan gembira kerana selepas penganjuran pertama tahun lalu yang dianggap berjaya, semakin ramai mula bercakap mengenai ekonomi penjagaan.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga mula melihat bahawa sektor ini menawarkan peluang yang sangat besar,” katanya ketika majlis penutup SICE sempenaSidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Ekspo yang berlangsung dari Khamis hingga hari ini antara lain menyokong matlamat Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024-2030.
Penganjuran berkenaan turut menyaksikan enam memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara syarikat dan organisasi bagi memperkukuh ekosistem penjagaan.
SICE turut menarik penyertaan delegasi antarabangsa dari Jepun, Singapura, Filipina dan Indonesia, selain Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Bank Pembangunan Asia (ADB).

Kerajaan Negeri juga menerima pertanyaan daripada pemain industri serantau dan antarabangsa, termasuk dari Jepun dan Korea Selatan, sekali gus menunjukkan minat lebih luas terhadap sektor berkenaan.
Seramai 38 pempamer mengetengahkan inovasi, produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan, mewakili pihak berkuasa tempatan, badan antarabangsa, institusi akademik, perusahaan sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan berasingan, Anfaal berkata Kerajaan Negeri sedang membangunkan kerangka insentif bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan pemain industri, termasuk syarikat korporat, pengilang dan pelabur.
“Buat masa ini, belum ada perkara yang dimuktamadkan, namun kami akan membangunkan satu set metrik bagi insentif ini,” katanya.

Beliau berkata insentif yang dicadangkan akan diselaraskan dengan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya komponen sosial, bagi memperkukuh kerjasama antara sektor awam dengan sektor sosial.
Sementara itu, Anfaal berkata SICE menghasilkan lima resolusi utama sebagai panduan kepada pembangunan industri penjagaan, iaitu memperkukuh pembiayaan penjagaan, memperkasa perusahaan penjagaan, membangunkan tenaga kerja, memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan penjagaan.
Katanya, Selangor menyasarkan untuk menjadi hab ekonomi penjagaan serantau menjelang 2030, seiring persediaan negeri menghadapi status negeri menua.
Usaha itu juga bertujuan menjadikan cabaran perubahan demografi sebagai peluang ekonomi baharu.










