Industri penjagaan: Selangor bangunkan kerangka khusus, teliti insentif pelaburan - MB

17 Okt 2026, 9:43 AM
Industri penjagaan: Selangor bangunkan kerangka khusus, teliti insentif pelaburan - MB
Industri penjagaan: Selangor bangunkan kerangka khusus, teliti insentif pelaburan - MB
Industri penjagaan: Selangor bangunkan kerangka khusus, teliti insentif pelaburan - MB

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Selangor merancang mewujudkan kerangka khusus industri penjagaan bagi menyelaraskan kategori pelesenan yang berbeza, selain meneliti insentif seperti pengecualian cukai, subsidi utiliti dan visa khas untuk menarik pelabur serta membantu perniagaan tempatan berkembang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu sebahagian usaha menjadikan Selangor hab industri penjagaan serantau dengan memudahkan urusan perniagaan, menarik kepakaran antarabangsa dan memperluas operasi penyedia perkhidmatan tempatan.

Berucap pada majlis penutupan Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE), beliau berkata, pengusaha industri penjagaan ketika ini perlu berdepan kategori pelesenan berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penutup Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Industri penjagaan yang semakin berkembang perlu disokong oleh piawaian yang jelas dan konsisten. Bagi membina asas kukuh untuk ekosistem ini, kita perlu merombak cara industri penjagaan ditadbir.

“Kita mengakui realiti semasa. Ketika ini, sektor penjagaan sangat berpecah mengikut jenis perkhidmatan. Lesen operasi diletakkan di bawah kategori yang tidak berkaitan; ada yang di bawah pelancongan, ada di bawah kesejahteraan bagi peranti kesihatan, manakala yang lain di bawah pusat tuisyen.

“Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita akan menyelaraskan kategori yang berpecah-pecah ini menerusi satu kerangka khusus industri penjagaan. Matlamat kita adalah untuk memudahkan urusan perniagaan dengan mengurangkan kerenah birokrasi.

“Kita mahu menjadikan Selangor tempat paling mudah untuk menubuhkan perusahaan penjagaan, dengan menyediakan asas kukuh kepada pengusaha tanpa sesekali mengabaikan piawaian keselamatan dan kualiti tinggi yang sepatutnya dinikmati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ekspo yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari serta EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) ketika majlis penutup Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas insentif yang sedang diteliti, Amirudin berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan visa khusus bagi menarik syarikat dan pakar antarabangsa, selain pengecualian atau pengurangan cukai serta subsidi utiliti untuk membantu penyedia perkhidmatan tempatan mengembangkan operasi.

“Pertama, bagi pemain global, kita sedang meneliti manfaat khusus seperti visa khas untuk menarik syarikat dan pakar industri penjagaan bertaraf tinggi dari peringkat antarabangsa ke Selangor.

“Kedua, kita sedang meneliti secara aktif pengecualian cukai, pengurangan cukai dan subsidi utiliti. Kita mahu mengurangkan halangan operasi supaya penyedia perkhidmatan penjagaan tempatan dapat berkembang secara mampan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyokong perkembangan ekosistem penjagaan menerusi inisiatif untuk perniagaan penjagaan awal kanak-kanak di kawasan yang dikenal pasti.

Menurut Amirudin, Selangor juga akan terus memperkukuh latihan penjaga dan sokongan sukarelawan, memudahkan akses kepada perkhidmatan penjagaan serta membangunkan model penjagaan warga emas berasaskan komuniti.

Kemudahan sedia ada seperti pusat aktiviti warga emas, pusat aktiviti kanak-kanak dan perpustakaan komuniti juga berpotensi diintegrasikan dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan penjagaan penduduk setempat.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi penjagaan memerlukan kerjasama antara kerajaan, majikan, penyedia perkhidmatan dan komuniti.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.