KUALA LUMPUR, 17 OKT: Akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti mampu membantu lebih ramai wanita kekal dalam pekerjaan atau kembali bekerja, selain membuka peluang perniagaan dalam industri penjagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad berkata ekonomi penjagaan perlu diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada pembangunan sosial dan ekonomi, bukannya dilihat sekadar tanggungjawab keluarga.

“Kita mahu menghubungkan mereka yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dengan penyedia yang mampu menawarkan penyelesaian berkualiti, selamat dan bersesuaian.
“Pada masa sama, kita mahu mewujudkan peluang kepada usahawan, pelabur, penyedia perkhidmatan dan pemain teknologi untuk memahami keperluan sebenar komuniti serta meneroka peluang membangunkan produk, perkhidmatan dan model perniagaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Siti Faridah, SICE bukan sekadar ekspo, sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan keperluan sosial dengan peluang ekonomi.
Ekspo yang berlangsung sejak Khamis hingga hari ini itu bertujuan menghubungkan keperluan penjagaan komuniti dengan peluang perniagaan, pelaburan dan inovasi menerusi pameran, demonstrasi pengalaman, sesi padanan perniagaan serta penyelesaian penjagaan digital.
Beliau berkata, platform itu menghimpunkan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan, pelabur, usahawan dan pemain teknologi untuk meneroka kaedah memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan serta membangunkan model perniagaan mampan.
Siti Faridah turut menggesa supaya pekerja penjagaan diberikan pengiktirafan lebih tinggi, latihan, pendapatan lebih baik dan laluan kemajuan kerjaya yang jelas, khususnya wanita yang banyak menyumbang kepada keluarga dan komuniti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkembangan industri itu tidak seharusnya mengabaikan keselamatan penerima penjagaan atau kebajikan pekerja.
“Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pertumbuhan pasaran atau peluang menjana keuntungan tanpa mengambil kira kualiti perkhidmatan, keselamatan penerima penjagaan dan kebajikan pekerja penjagaan.
“Ekonomi yang mampan perlu mengimbangi tiga keutamaan utama, iaitu keperluan manusia, kebajikan tenaga kerja dan daya maju perniagaan,” katanya.







