KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kejayaan Dates Valley dalam program Selangor Care Accelerator (XCare) 2026 bukan sahaja meningkatkan nilai penjenamaan perniagaannya, malah melonjakkan jualan sehingga stok produk habis dijual selepas kemenangan diumumkan.
Pengasasnya, Nurul Alia Md Noor berkata kemenangan itu menjadi pencapaian bermakna kepada perniagaannya yang menghasilkan makanan berasaskan probiotik dan prebiotik, selain meningkatkan penerimaan pelanggan terhadap produknya.
Menurut beliau, pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri turut menyuntik semangat untuk terus mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kedudukan produknya dalam pasaran.
“Saya berasa amat gembira dan bersemangat apabila terpilih sebagai pemenang XCare kerana pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna.
“Kemenangan ini memberikan semangat baharu untuk saya terus mengembangkan perniagaan. Malah, stok produk habis dijual selepas pengumuman kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima pengiktirafan itu pada Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Nurul Alia berkata penyertaan dalam program XCare membuka peluang kepadanya mendalami pelbagai aspek pengurusan perniagaan termasuk modal, proses pengeluaran dan operasi menerusi bimbingan mentor.
Katanya, pendekatan praktikal program itu turut membolehkan peserta memperoleh pengalaman secara langsung dalam membangunkan perniagaan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai usahawan memanfaatkan peluang dan bimbingan disediakan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pengetahuan serta mengembangkan perniagaan.
Sementara itu, seorang lagi pemenang, Yew Tian Tian daripada Cutie Cottage Sdn Bhd berkata kemenangan tersebut meningkatkan keyakinan dirinya, selain membuka peluang kerjasama strategik.

Menurutnya, bimbingan mentor sepanjang program membantu beliau memahami aspek perniagaan yang sebelum ini kurang diberikan perhatian.
Cutie Cottage merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi seawal usia dua bulan.
Dalam pada itu, Tian Tian turut menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa wanita dan berhasrat memperkukuh operasi serta kemahiran bagi mengembangkan perniagaannya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Seorang lagi pemenang, Aishah Md Noor daripada Sejolly PLT menyifatkan kemenangan tersebut sebagai penghargaan terhadap usaha membangunkan perniagaannya.
Sejolly PLT membangunkan aplikasi ROOTIN bagi memudahkan komunikasi antara ibu bapa dengan anak autisme serta memantau perkembangan mereka dari mana-mana sahaja.

Aishah berkata program XCare turut menyediakan rangkaian sokongan yang kukuh, peluang membina hubungan dengan usahawan lain serta mendapatkan panduan daripada mentor berpengalaman.
"Saya harap lebih ramai usahawan merebut peluang menyertai inisiatif seumpama itu bagi meningkatkan pengetahuan, memperkukuh kemahiran dan mengembangkan perniagaan," katanya.
Untuk rekod, XCare merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi membantu usahawan sektor ekonomi penjagaan meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan.
Program itu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk klinik pembentangan perniagaan, bimbingan mentor, bengkel pengurusan risiko dan lawatan ke lokasi industri bagi memperkukuh model perniagaan peserta.
SICE 2026 diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Kuala Lumpur.









