SHAH ALAM, 24 SEPT - Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 bakal menghimpunkan lebih 30 pempamer tempatan dan antarabangsa sekali gus menjadi wadah memperkukuh sektor ekonomi penjagaan di Selangor.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata jumlah penyertaan pempamer kini sudah memenuhi sasaran, manakala pendaftaran bagi sesi padanan perniagaan masih dibuka.
“Buat masa ini pempamer memang sudah penuh. Alhamdulillah kita dapat capai sasaran penyertaan 30 pempamer. Untuk padanan perniagaan kita masih teruskan pendaftaran,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata sesi padanan perniagaan tersebut membolehkan pengunjung mendaftar berdasarkan bidang yang diminati sebelum dipadankan dengan pempamer berkaitan.
“Siapa yang berminat untuk bertemu dengan pempamer ataupun ada sesi perbincangan khusus, dia perlu daftar di platform kita bagi membolehkan padanan dibuat,” katanya.
Menurutnya, penyertaan antarabangsa turut melibatkan Asian Development Bank (ADB), selain sesi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi meneroka peluang kerjasama baharu.
Anfaal menjelaskan penganjuran ekspo itu turut menjadi ruang mempertemukan penggiat industri serta pihak berkepentingan dalam sektor ekonomi penjagaan.
SICE 2026 bertema ‘Experience Care: Discover the Future of Care’ akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 15 hingga 17 Oktober depan.
Ekspo itu bagi memperkasa ekonomi penjagaan menerusi inovasi produk dan perkhidmatan, selain mengukuhkan kerjasama strategik antara pemain industri, penyedia perkhidmatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan dalam memacu pertumbuhan sektor ekonomi penjagaan.








