Sektor penjagaan berpotensi jadi ekonomi kedua terbesar negara - EXCO

11 Jun 2026, 2:00 PM
Sektor penjagaan berpotensi jadi ekonomi kedua terbesar negara - EXCO
Sektor penjagaan berpotensi jadi ekonomi kedua terbesar negara - EXCO
Sektor penjagaan berpotensi jadi ekonomi kedua terbesar negara - EXCO

HULU KELANG, 11 JUN: Sektor penjagaan berpotensi menjadi sektor ekonomi kedua terbesar negara selepas pembuatan sekiranya kerja penjagaan dan domestik yang selama ini tidak dibayar diberikan nilai ekonomi sewajarnya.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganggarkan nilai ekonomi kerja penjagaan serta domestik tidak berbayar mencecah RM379 bilion setahun.

Menurutnya, angka tersebut membuktikan sektor penjagaan tidak lagi boleh dilihat semata-mata dari sudut kebajikan, sebaliknya berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerja penjagaan yang dilakukan di rumah, sama ada menjaga anak-anak, warga emas atau individu memerlukan sokongan khas, sebenarnya mempunyai nilai ekonomi yang sangat besar serta penting kepada kesejahteraan masyarakat.

“Anggaran nilai RM379 bilion setahun membuktikan sektor penjagaan berpotensi menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara menerusi penciptaan pekerjaan, pelaburan dan pertumbuhan industri,” katanya.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bercakap ketika sesi Jaringan Minum Petang SICE 2026 di Flamingo Hotel By The Lake, Kuala Lumpur pada 11 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi Jaringan Minum Petang Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 di Flamingo Hotel di sini, hari ini.

Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri komited memperkukuh ekosistem penjagaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk penyediaan geran kepada pusat jagaan dan taska bagi membantu pengusaha memenuhi keperluan operasi serta mendapatkan pengiktirafan rasmi.

Katanya, langkah itu juga bertujuan menggalakkan lebih banyak pusat jagaan beroperasi secara sah dan berdaftar, sekali gus membolehkan data serta nilai transaksi dalam sektor berkenaan direkodkan dengan lebih teratur.

Beliau berkata, SICE 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Oktober depan akan menjadi platform untuk memperkukuh pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi penjagaan serantau.

Ekspo bertemakan "Experience Care: Discover the Future of Care" itu dijangka mengetengahkan pelbagai inovasi dalam bidang penjagaan kanak-kanak, warga emas, sokongan kepada orang kurang upaya, teknologi bantuan dan perkhidmatan penjagaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.