SHAH ALAM, 12 OKT: Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober ini diharap dapat membuka peluang kepada lebih ramai penyedia perkhidmatan untuk mengembangkan industri penjagaan di negeri ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha itu penting susulan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan yang semakin meningkat, namun penawarannya masih belum mencukupi, khususnya di kawasan luar daerah Petaling.
“Di Selangor, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan tinggi kerana kita sedang menuju ke arah negeri menua, tetapi penawaran perkhidmatan masih belum mencukupi.
“Perkhidmatan ini juga masih tertumpu di daerah Petaling, manakala kawasan Anjung Utara dan Anjung Selatan masih mengalami kekurangan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Menurut Anfaal, penganjuran SICE 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menghimpunkan pemain industri, penyedia perkhidmatan dan pelabur menerusi pameran serta sesi padanan perniagaan.

Katanya, platform berkenaan juga diharap dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyedia perkhidmatan sedia ada mengembangkan operasi melalui pelaburan dan kerjasama baharu.
“Kita juga mahu pemain industri sedia ada menjadi mentor kepada PKS atau syarikat baharu yang ingin berkembang,” katanya.
Anfaal berkata ekspo itu turut membuka ruang kepada kerjasama teknologi antarabangsa, termasuk cadangan memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Teknologi Nagoya, Jepun berkaitan pembekalan peranti bantuan kawalan motor.
“Platform seperti ini membuka ruang kepada lebih ramai inovator teknologi dari dalam dan luar negara untuk meneroka peluang pelaburan serta kerjasama,” jelasnya.
Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai hab ekonomi penjagaan serantau yang mampu memenuhi keperluan masyarakat di Malaysia dan negara Asia lain.
“Kita mahu menjadikan Selangor sebagai hab ekonomi penjagaan serantau, bukan sahaja untuk Selangor atau Malaysia, tetapi juga bagi membolehkan masyarakat di rantau Asia mendapatkan perkhidmatan penjagaan.
“Melalui jaringan kerjasama seperti ini, potensi untuk mengembangkan industri penjagaan menjadi lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SICE 2026 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemain industri, malah turut membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai produk, teknologi dan perkhidmatan penjagaan mengikut keperluan keluarga.
“Pengunjung dalam kalangan keluarga boleh mengetahui pihak yang dapat membantu mereka serta produk yang diperlukan untuk menjaga ibu bapa yang sakit di rumah,” ujarnya.
SICE 2026 yang menawarkan kemasukan percuma itu merupakan sebahagian daripada pengisian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) edisi ke-10.









