Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor perkukuh ekonomi penjagaan inklusif dan mampan

15 Okt 2026, 2:30 PM
Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor perkukuh ekonomi penjagaan inklusif dan mampan
Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor perkukuh ekonomi penjagaan inklusif dan mampan
Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor perkukuh ekonomi penjagaan inklusif dan mampan
Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor perkukuh ekonomi penjagaan inklusif dan mampan

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor terus memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan menerusi penganjuran Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026, yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, pelabur dan inovator bagi meneroka peluang kerjasama serta pembangunan sektor itu.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penganjuran ekspo berkenaan merupakan usaha memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak bagi membangunkan industri penjagaan yang lebih tersusun, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan keseluruhan negara (Whole-of-Nation Approach) penting untuk mengangkat dan memformalkan ekonomi penjagaan sebagai sektor yang berpotensi untuk terus berkembang.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfal Saari berucap ketika hadir pada Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Kerjasama antara kerajaan, pemain industri dan masyarakat amat penting bagi membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih inklusif, tersusun dan mampan.

“Ekonomi penjagaan bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat, malah membuka peluang kepada pembangunan inovasi, teknologi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya selepas pelancaran SICE 2026 di sini, hari ini.

Bertemakan Experience Care: Discover the Future of Care, ekspo itu menjadi platform untuk menghubungkan penyedia perkhidmatan penjagaan, institusi kesihatan, inovator teknologi, pelabur, agensi kerajaan dan keluarga.

SICE 2026 memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu penjagaan kehamilan dan selepas bersalin, penjagaan kanak-kanak, penjagaan orang kurang upaya (OKU), penjagaan warga emas serta penjagaan paliatif dan jangka panjang.

Anfaal berkata tumpuan terhadap bidang berkenaan penting bagi memastikan keperluan penjagaan pada setiap peringkat kehidupan diberikan perhatian, selain menggalakkan pembangunan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersama EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfal Saari melawat ke tapak pameran ketika hadir pada Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Ekspo itu menampilkan empat komponen utama, iaitu reruai pameran, pameran pengalaman, sesi padanan perniagaan dan ekspo penjagaan digital.

SICE 2026 turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan Nagoya Institute of Technology, Jepun (NiTech), bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Selain itu, ekspo berkenaan meraikan tiga pemenang inovasi terbaik menerusi program Selangor Care Accelerator (XCare) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha membangunkan penyelesaian inovatif dalam sektor penjagaan.

SICE 2026 melibatkan 30 sektor dengan nilai keseluruhan pelaburan berjumlah RM1.07 juta, selain menyasarkan pelaksanaan 349 sesi sepanjang tiga hari penganjuran.

Ekspo itu turut menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung serta penyertaan lapan jenama utama dan 30 jenama mini, selain merancang 160 sesi padanan perniagaan.

Sebanyak 111 sesi padanan perniagaan dijadualkan berlangsung hari ini bagi membuka peluang kepada pemain industri menjalin kerjasama dan meneroka potensi pelaburan dalam sektor ekonomi penjagaan.

Penganjuran SICE 2026 diharap dapat memperluas jaringan kerjasama antara pemain industri serta menggalakkan pembangunan penyelesaian penjagaan yang inovatif, sekali gus menyokong usaha memperkukuh ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan di Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.