SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri memperluas inisiatif Ambulans Kita Selangor bagi membantu pesakit yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk menerima rawatan di hospital.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata fasa kedua inisiatif itu dilancarkan pada 15 Julai lalu dengan liputan diperluas daripada tiga kepada sembilan daerah.
"Ambulans Kita Selangor merangkumi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), 86 klinik kesihatan dan sekurang-kurangnya 20 hospital kerajaan.
"Sebanyak 48 ambulans beroperasi sepanjang tahun ini, termasuk sebuah ambulans neonatal dan dua ambulans bariatrik," katanya menerusi Facebook.
Menurut Amirudin, fasa pertama inisiatif berkenaan mengendalikan 372 kes membabitkan 103 penerima manfaat.
"Inisiatif ini mengutamakan pesakit terlantar dan mereka yang memerlukan bantuan oksigen daripada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000.
"Permohonan boleh dibuat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN sehari sebelum tarikh rawatan dengan mengemukakan kad pengenalan dan surat temu janji hospital," katanya.
Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia itu menerima sokongan dana berjumlah RM2 juta setakat ini.
"Saya harap inisiatif Ambulans Kita Selangor ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.








