SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri mahu memperluas aktiviti ekonomi ke lebih banyak daerah bagi merapatkan jurang pembangunan susulan taburan penduduk Selangor yang tidak seimbang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih empat juta daripada kira-kira tujuh juta penduduk Selangor tertumpu di Klang, Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
Beliau berkata, tumpuan itu menjadi lebih besar apabila mengambil kira kawasan seperti Hulu Langat dan Kajang, menyebabkan beberapa daerah lain berperanan sebagai kawasan sokongan kepada pusat pembangunan utama negeri.
“Sekarang, kita mahu memastikan kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Gombak mempunyai aktiviti ekonomi sendiri.
“Penduduk sepatutnya boleh pulang ke kampung halaman, tinggal berdekatan keluarga dan mempunyai akses pengangkutan awam yang baik. Mereka boleh terus bekerja di kawasan seperti Petaling Jaya sambil tinggal di daerah seperti Sabak Bernam atau Tanjong Karang,” katanya, lapor The Star.
Amirudin berkata pendekatan baharu itu antara usaha Kerajaan Negeri merapatkan jurang antara daerah termasuk dari segi pendapatan dan kualiti infrastruktur dengan memanfaatkan potensi serta aset sedia ada setiap kawasan.
Menurutnya, campur tangan kerajaan melalui projek dan elemen baharu diperlukan di kawasan tertentu, namun pembangunan tidak boleh dilaksanakan terlalu pantas sehingga mewujudkan masalah baharu.
Sehubungan itu, Selangor dijangka mengumumkan pelaburan baharu dalam beberapa bulan akan datang yang disusun mengikut kluster berdasarkan kekuatan setiap kawasan termasuk agropelancongan, pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan.
Pembangunan kluster berkenaan adalah sebahagian pendekatan yang diperkenalkan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan akan diperkukuh melalui Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan tumpuan lebih besar terhadap usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
Dalam aspek ekonomi, Amirudin berkata RS-2 menyasarkan Selangor menjadi wilayah contoh di Asia Tenggara menjelang 2030 dengan tumpuan bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi, malah kualiti hidup dan produktiviti.
Beliau turut mengakui pemilikan rumah kekal antara kebimbangan utama rakyat berikutan jumlah penduduk dan kos perumahan yang tinggi, justeru dasar perumahan negeri disesuaikan bagi meningkatkan akses kepada tempat tinggal termasuk menerusi program sewaan dan bukan semata-mata mendorong pemilikan rumah.










