MB: Selangor hampiri dua tahun tanpa gangguan air kritikal

28 Nov 2026, 11:07 AM
MB: Selangor hampiri dua tahun tanpa gangguan air kritikal
MB: Selangor hampiri dua tahun tanpa gangguan air kritikal
MB: Selangor hampiri dua tahun tanpa gangguan air kritikal

KUALA SELANGOR, 28 NOV: Selangor menghampiri dua tahun berturut-turut tanpa gangguan bekalan air kritikal akibat pencemaran sungai sekiranya keadaan itu dapat dikekalkan sehingga akhir Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat November ini, tiada gangguan bekalan air kritikal berpunca daripada pencemaran sungai direkodkan di negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun kedua. Kita harap kita masuk bulan 12, harapnya tidak berlakulah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Wira Air Peringkat Negeri Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata tahun lalu mencatat sejarah apabila buat kali pertama Selangor berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kritikal akibat pencemaran sungai sepanjang tahun.

“Tahun lepas adalah kali pertama dalam sejarah. Tahun ini kalau tidak berlaku lagi, kita dapat elakkan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian Karnival Wira Air Peringkat Negeri Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya pada 28 November 2026.

Menurutnya, meskipun terdapat insiden pencemaran yang mencetuskan amaran tahap kuning, keadaan itu berjaya ditangani tanpa mencapai tahap merah yang memerlukan penutupan operasi loji rawatan air.

“Walaupun berlaku amaran tahap kuning, tetapi kita tidak sampai ke tahap merah iaitu menutup operasi kerana kita berjaya alihkan air tersebut daripada mengganggu ataupun memberi kesan kepada bekalan air ataupun pemprosesan air,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) sejak 28 Oktober 2020 dengan kos RM320 juta bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi dan berkualiti, terutama ketika berlaku pencemaran sungai atau kemarau.

Fasa pertama projek itu yang siap sepenuhnya pada 13 Mei 2025 membabitkan empat pakej meliputi sistem pengepaman dan lencongan sungai di Kuala Selangor serta Semenyih bagi mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.