Penggunaan air masih tinggi, Air Selangor pupuk budaya berjimat

28 Nov 2026, 1:00 PM
Penggunaan air masih tinggi, Air Selangor pupuk budaya berjimat
Penggunaan air masih tinggi, Air Selangor pupuk budaya berjimat

KUALA SELANGOR, 28 NOV: Purata penggunaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tinggi iaitu 240 liter per kapita sehari (LCD) pada 2025, melebihi sasaran 180 LCD menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata jurang 60 liter itu menunjukkan masih banyak ruang untuk pengguna mengurangkan penggunaan air menerusi amalan penjimatan harian.

Justeru, katanya, dalam usaha memupuk budaya berjimat sejak usia muda, Air Selangor menganjurkan Karnival Wira Air 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,500 pelajar sekolah bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor.

Ketika berucap pada karnival yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya di sini, hari ini, beliau turut menekankan peranan 5,050 kakitangan Air Selangor dalam memastikan bekalan air disalurkan kepada pengguna.

Sebahagian daripada 1,500 pelajar yang menyertai Karnival Wira Air 2026 di UNISEL, Bestari Jaya pada 28 November 2026. Foto Air Selangor

“Di sebalik semua itu ada ribuan warga kerja Air Selangor yang bertugas siang dan malam untuk memastikan bekalan air bersih dan selamat sampai kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Adam Saffian berkata Air Selangor turut melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk program kesedaran di sekolah, kerjasama dengan badan berkaitan serta pengagihan kit penjimatan air secara percuma kepada komuniti.

Beliau turut menggalakkan pelajar mengamalkan langkah mudah seperti menutup pili ketika memberus gigi, mengambil air minuman sekadar yang diperlukan serta melaporkan kebocoran paip di sekolah kepada guru untuk tindakan pembaikan.

"Bagi kebocoran paip di tempat awam, pelajar disaran mendapatkan bantuan orang dewasa untuk membuat laporan menerusi aplikasi Air Selangor," katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar penerangan ketika mengunjungi reruai pameran sempena Karnival Wira Air Peringkat Negeri Selangor di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya pada 28 November 2026.

Karnival Wira Air 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif termasuk Larian Wira Harapan, kuiz, persembahan, sesi bual bicara, pertandingan inovasi antara sekolah, pameran serta cabutan bertuah.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan karnival berkenaan mahu program itu diperluas ke seluruh Selangor bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air dan mengelakkan pembaziran.

Beliau turut menekankan supaya penganjuran program itu tidak terhad kepada acara sehari, sebaliknya menjadi inisiatif berterusan bagi membentuk budaya menghargai air dalam kalangan masyarakat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.