
SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri diharap meningkatkan peruntukan bantuan peralatan dan kewangan bagi pembangunan usahawan menerusi Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentangkan November ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata penambahan peruntukan itu diharap dapat membantu lebih ramai usahawan, khususnya golongan berpendapatan rendah, mengembangkan perniagaan dan keluar daripada kemiskinan tegar.

"Menjelang pembentangan Belanjawan Selangor pada November ini, kami akan berusaha membawa cadangan kepada pihak eksekutif, termasuk Dato' Menteri Besar dan EXCO, supaya peruntukan ditambah.
"Kita juga berharap Unit Perancang Ekonomi Negeri dapat membantu memastikan jumlah penerima bantuan melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas merasmikan Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) daerah Petaling, di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 43 penerima di daerah Petaling menerima bantuan, terdiri daripada enam penerima Blueprint dan 37 penerima I-Seed.
“Bantuan ini bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan secara bermaruah, berniaga dengan baik dan akhirnya menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi membantu usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah, mengembangkan perniagaan menerusi program Blueprint Selangor dan I-Seed.

Dalam pada itu, Izuan berkata bantuan dan bimbingan kepada usahawan di DUN Kota Damansara turut merangkumi aspek pengurusan kewangan, pembungkusan dan pemasaran.
Beliau berkata Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor turut menawarkan diskaun sewaan gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) antara 30 hingga 50 peratus bagi meringankan beban peniaga.
“Di peringkat PBT, kita bersama ADN turut membuat hebahan mengenai gerai-gerai yang boleh disewa oleh usahawan,” katanya.
Beliau berharap pelbagai bentuk sokongan itu dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.







