Belanjawan Selangor 2027: EXCO mahu dana Blueprint, Jom Shopping ditambah

8 Nov 2026, 8:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: EXCO mahu dana Blueprint, Jom Shopping ditambah
Belanjawan Selangor 2027: EXCO mahu dana Blueprint, Jom Shopping ditambah
Belanjawan Selangor 2027: EXCO mahu dana Blueprint, Jom Shopping ditambah
Belanjawan Selangor 2027: EXCO mahu dana Blueprint, Jom Shopping ditambah

SHAH ALAM, 8 NOV: Peruntukan tambahan bagi program Blueprint Selangor dan Baucar Jom Shopping perlu dipertimbangkan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai golongan berpendapatan rendah.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata permintaan terhadap kedua-dua inisiatif itu amat menggalakkan, namun jumlah penerima masih terhad berikutan kekangan peruntukan.

Beliau berkata, pelaksanaan Blueprint Selangor membantu peniaga kecil daripada golongan berpendapatan rendah mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.

Menurutnya, bantuan disalurkan secara telus dengan mengutamakan pemohon yang benar-benar layak menerusi proses pemilihan dan saringan di beberapa peringkat.

EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bercakap kepada media pada Rumah Terbuka Deepavali peringkat EXCO Kerajaan Negeri di Seksyen 7, Shah Alam pada 8 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita terima banyak permohonan dan hasil pelaksanaannya juga amat memberangsangkan. Inisiatif ini membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Bantuan juga diberikan kepada peniaga yang benar-benar memerlukan, manakala barangan yang disalurkan pula berdasarkan keperluan serta permintaan mereka.

“Justeru, kita berharap Belanjawan Selangor akan terus memberi fokus kepada inisiatif ini,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Deepavali peringkat EXCO di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Papparaidu berkata peruntukan Baucar Jom Shopping sempena perayaan juga perlu ditambah bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah menerima manfaat.

Beliau berkata, bantuan RM200 itu bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan keperluan harian, malah memberi peluang kepada penerima membuat persiapan dan menyambut perayaan dengan lebih meriah.

“Sambutan sangat hebat, ramai yang datang memohon namun kita terhad. Ia membantu golongan berpendapatan rendah melengkapkan keperluan dan menceriakan sambutan perayaan mereka,” katanya.

Penduduk DUN Sentosa bersama Ahli Dewan Negeri, Dr Gunaraj George (berdiri, tiga dari kiri) selepas membeli barangan keperluan sempena Deepavali menggunakan Baucar Jom Shopping di pasar raya NSK. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj

Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18.48 juta bagi pelaksanaan Baucar Jom Shopping, termasuk tambahan RM2 juta berbanding tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 92,400 penerima untuk membuat persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara bernilai RM200 seorang kepada 8,317 veteran dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Selangor memperuntuk RM3.23 bilion dalam Belanjawan 2026, merangkumi RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk pembangunan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.