ad

49 usahawan kecil Selangor diiktiraf Anugerah Ikon Blueprint & i-Seed 2025

22 Nov 2025, 1:48 PM
49 usahawan kecil Selangor diiktiraf Anugerah Ikon Blueprint & i-Seed 2025

KUALA LANGAT, 22 NOV: Seramai 49 usahawan kecil Selangor menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Ikon Blueprint & i-Seed Kita Selangor 2025, sebagai tanda kejayaan mereka meningkatkan pendapatan, mengukuhkan inovasi dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Anugerah tersebut disampaikan oleh EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu, pada Karnival Blueprint dan i-Seed Kita Selangor 2025 di Dataran Pantai Morib.

Papparaidu berkata pengiktirafan itu memberi keyakinan kepada usahawan kecil bahawa usaha mereka diiktiraf dan disokong Kerajaan Negeri.

“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi dorongan untuk mereka terus berkembang secara mampan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keberkesanan program pembangunan usahawan dapat dilihat melalui kejayaan hampir 6,000 penerima Bantuan Peralatan Blueprint sejak 2008, serta 567 usahawan India di bawah program i-Seed sejak 2021.

Menurutnya, pemantauan rapi terus dijalankan bagi memastikan setiap bantuan dimanfaatkan sepenuhnya.

Anugerah Blueprint dan i-Seed merangkumi empat kategori utama: Ikon, Prestasi Pengeluaran, Komitmen Cemerlang dan Potensi Dinamik.

Karnival berkenaan turut menghimpunkan lebih 300 peserta, termasuk 40 usahawan penerima bantuan, serta menyediakan platform padanan perniagaan, sesi perkongsian bersama agensi pembiayaan dan khidmat nasihat keusahawanan.

Karnival Blueprint & i-Seed Kita Selangor 2025 menyasarkan 10,000 pengunjung dan menjadi pemangkin kepada ekosistem keusahawanan akar umbi yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing.