SHAH ALAM, 9 SEPT: Seramai 38 penerima di Sabak Bernam menerima bantuan berjumlah RM248,100 menerusi Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) tahun ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata bantuan itu merupakan sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri memperkasa rakyat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan keluarga.
Menurut beliau, bagi 2026, seramai 408 penerima di seluruh Selangor diluluskan bantuan menerusi kedua-dua program berkenaan.
“Bantuan yang diserahkan pada hari ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para penerima untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kesejahteraan keluarga.
“Apa yang kita mahu ialah bantuan ini menjadi pemangkin kepada kemandirian, bukan sekadar bantuan untuk jangka pendek,” katanya menerusi Facebook.

Papparaidu berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan penambahbaikan terhadap Program Blueprint dan i-SEEED sejak 2022 bagi memastikan lebih ramai rakyat yang memerlukan mendapat manfaat.
"Antara penambahbaikan itu ialah peningkatan had siling bantuan daripada RM5,000 kepada RM10,000, manakala syarat pendapatan bulanan pemohon dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000.
"Langkah itu bertujuan membuka ruang dan peluang lebih luas kepada rakyat untuk mendapatkan bantuan bersesuaian dengan keperluan perniagaan atau aktiviti ekonomi masing-masing," katanya.
Sejak dilaksanakan sehingga 2025, kedua-dua program itu memberi manfaat kepada 6,892 penerima dengan jumlah peruntukan melebihi RM30 juta.

Papparaidu berkata matlamat akhirnya adalah memastikan penerima mampu berdikari, meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan.
“Akhirnya, penerima diharapkan mampu berdiri dengan lebih kukuh, meningkatkan pendapatan dan seterusnya keluar daripada kemiskinan.
“Inilah yang kita maksudkan dengan pembasmian kemiskinan yang sebenar, daripada bantuan kepada pemerkasaan rakyat,” katanya.
Majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Zainal Bahaudin serta Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Zuraini Harun.







