ad

Bantuan peralatan niaga lonjak pendapatan usahawan kecil Selangor

23 Nov 2025, 2:01 AM
Bantuan peralatan niaga lonjak pendapatan usahawan kecil Selangor

KUALA LANGAT, 23 NOV: Bagi ramai usahawan kecil di Selangor, program i-Seed dan Blueprint Pembasmian Kemiskinan bukan sekadar bantuan peralatan sebaliknya ia menjadi harapan baharu untuk keluar daripada kesempitan hidup dan mengukuhkan pendapatan keluarga.

M. Delwi, 57, dari Gombak, sudah lebih dua dekad bergantung pada mesin jahit lama yang kerap rosak. Namun tahun ini, kehidupannya sedikit berubah apabila menerima dua mesin baharu serta pengiktirafan kategori Ikon.

“Saya rasa lega sangat. Kerja lebih cepat, pelanggan tak perlu tunggu lama. Ini anugerah pertama saya selepas 24 tahun berniaga,” katanya, terharu mengenang perjalanan panjangnya sebagai tukang jahit.

M. Delwi

Kisah sama dikongsi Rani Sayuti, 28, yang memulakan kedai gunting rambut kecil di Puncak Alam. Bantuan peralatan bernilai sekitar RM5,000 membuka ruang untuk beliau berkembang lebih jauh.

“Dulu satu cawangan saja, itu pun peralatan tak cukup. Lepas dapat bantuan, saya dapat buka tiga cawangan. Operasi lebih lancar dan pelanggan pun bertambah,” kata penerima anugerah Ikon Kuala Selangor itu.

Rani Sayuti

Bagi pemilik bengkel, Vicnes Kaniappan, 30, peralatan baharu yang diterimanya sejak 2022 menjadi titik perubahan.

“Sebelum ini saya banyak buat kerja manual sebab tak ada peralatan sesuai. Selepas dapat kompresor dan set angkat enjin, kerja lebih cepat dan pendapatan naik daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan,” katanya.

Dalam bidang katering, M. Kanesan, 45, turut merasai perubahan ketara setelah menerima peralatan bernilai lebih RM10,000.

“Dulu saya terpaksa tolak tempahan sebab peralatan tak cukup. Sekarang pendapatan naik dua kali ganda. Dari RM700, kini boleh capai RM3,000 sebulan. Bantuan ini benar-benar ubah hidup saya,” katanya yang turut diiktiraf sebagai Ikon.

M. Kanesan

Kesemua penerima sepakat bahawa bantuan Kerajaan Selangor dan EXCO Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu, bukan sahaja menyediakan peralatan, tetapi juga keyakinan baharu untuk meneruskan perniagaan.

Selain sokongan modal dan peralatan, program berkenaan turut menawarkan latihan serta bimbingan berterusan bagi memastikan usahawan dapat berkembang secara mampan.

Sebanyak 49 usahawan kecil diraikan melalui Anugerah Ikon Blueprint & i-Seed Kita Selangor 2025 di Dataran Pantai Morib, meliputi kategori Ikon, Prestasi Pengeluaran, Komitmen Cemerlang dan Potensi Dinamik.