Kerajaan Selangor salur RM3 juta bantu usahawan kecil kembangkan perniagaan

10 Okt 2026, 5:00 AM
Kerajaan Selangor salur RM3 juta bantu usahawan kecil kembangkan perniagaan
Kerajaan Selangor salur RM3 juta bantu usahawan kecil kembangkan perniagaan

SEPANG, 10 OKT: Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM3 juta tahun ini bagi membantu usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah, mengembangkan perniagaan menerusi bantuan peralatan Blueprint Selangor dan Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (i-SEED).

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata bantuan itu memberi tumpuan kepada peniaga kecil yang benar-benar memerlukan sokongan untuk meningkatkan pendapatan, bukannya restoran atau perniagaan berskala besar.

“Kita bukan memberi barangan kepada restoran ataupun kedai-kedai besar, tidak. Kita akan membantu masyarakat yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya kepada Media Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, seramai 32 usahawan di Sepang menerima bantuan peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000.

Jumlah itu membabitkan 19 penerima Blueprint Selangor dan 13 penerima i-SEED yang menerima pelbagai peralatan termasuk mesin ais krim, dapur memasak, peti sejuk dan mesin jahit.

Papparaidu berkata kedua-dua inisiatif itu akan diteruskan pada 2027, dengan proses mengenal pasti calon penerima baharu sudah dimulakan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan penambahan peruntukan susulan permintaan tinggi, terutama dalam kalangan usahawan kecil di kawasan luar bandar.

“Mungkin saya akan jumpa, saya akan bincang dengan Dato’ Menteri Besar kita untuk menambahkan peruntukannya sedikit,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong berkata Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) kawasan itu menerima banyak permohonan bagi bantuan Blueprint Selangor, i-SEED dan inisiatif lain.

“Saya sentiasa berharap boleh dapat bantuan Kerajaan Negeri Selangor untuk warga DUN Sungai Pelek.

“Dua pejabat Pusat Khidmat Masyarakat sentiasa menerima banyak permohonan Blueprint, i-SEED dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersedia turun padang bagi menilai keperluan pemohon sebelum permohonan dikemukakan untuk pertimbangan pihak berkaitan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusan akhir kelulusan bantuan terletak di bawah bidang kuasa EXCO yang bertanggungjawab.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.