Akta 672: Sultan mahu mutu pengurusan sisa, pembersihan awam terus dipertingkat

12 Okt 2026, 5:39 AM
Akta 672: Sultan mahu mutu pengurusan sisa, pembersihan awam terus dipertingkat
Akta 672: Sultan mahu mutu pengurusan sisa, pembersihan awam terus dipertingkat
Akta 672: Sultan mahu mutu pengurusan sisa, pembersihan awam terus dipertingkat

SHAH ALAM, 12 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan tiada kompromi terhadap prestasi dan kualiti pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam apabila Selangor menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Baginda menegaskan ketepatan masa dan kekerapan kutipan sampah perlu dikekalkan atau dipertingkat bagi memastikan perubahan sistem pengurusan sisa pepejal tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Tidak ada sebarang kompromi serta kemerosotan dari segi prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam, termasuk dari segi ketepatan masa dan frekuensi kutipan,” titah Baginda dalam kenyataan akhbar Istana Alam Shah hari ini.

Baginda turut menekankan perkara itu memandangkan jumlah penduduk Selangor yang besar bergantung pada perkhidmatan berkenaan di seluruh negeri.

Sehubungan itu, Baginda berharap perjanjian tiga pihak antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat dimuktamadkan segera demi kepentingan rakyat.

Kerajaan Negeri sebelum ini menjangkakan keputusan berhubung penerimaan Akta 672 dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini atau awal 2027, sekali gus membuka laluan kepada Selangor menjadi negeri kelapan menerima pakai akta berkenaan.

Perkembangan itu diteliti Baginda menerusi dua pertemuan berasingan, masing-masing bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober lalu serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada 10 Oktober.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat Amager Bakke atau CopenHill, loji jana kuasa haba dan elektrik berasaskan sisa di Copenhagen, Denmark baru-baru ini. Foto Facebook Selangor Royal Office

Kedua-dua pertemuan itu menyusuli lawatan Baginda ke loji sisa kepada tenaga (WTE) Amager Bakke atau CopenHill di Copenhagen, Denmark, baru-baru ini.

Dalam pertemuan berkenaan, Nga memaklumkan usaha menyeluruh di peringkat PBT telah selesai, manakala semua pihak berkepentingan komited memuktamadkan proses penerimaan Akta 672.

Penerimaan akta itu dijangka membolehkan Selangor menikmati piawaian pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih tinggi, disokong pembiayaan tambahan Kerajaan Persekutuan menerusi KPKT.

Baginda turut berharap perancangan pembangunan loji WTE di Selangor dapat diteruskan dan disegerakan dengan pemudahcaraan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.

Pandangan dari udara Loji Sisa Kepada Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.