Sultan Selangor tekankan kebajikan rakyat dalam membina ummah berdaya maju

24 Okt 2026, 7:00 AM
Sultan Selangor tekankan kebajikan rakyat dalam membina ummah berdaya maju

SHAH ALAM, 24 OKT: Di sebalik kemajuan Selangor sebagai antara negeri termaju di Malaysia, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu ada rakyat yang terpinggir, khususnya golongan miskin yang masih bergelut dengan kehidupan seharian.

Keprihatinan itu mencerminkan amanah baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor yang bukan sahaja menitikberatkan pemeliharaan akidah dan pengukuhan institusi agama, tetapi juga memastikan kebajikan umat Islam terbela tanpa mengetepikan keharmonian bersama yang melibatkan masyarakat bukan Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin yang mengenali baginda hampir 18 tahun berkata Sultan Sharafuddin memahami beratnya amanah itu, termasuk menjaga kebajikan, akidah dan kesucian agama Islam serta berlaku adil terhadap semua rakyat jelatanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato' Salehuddin Saidin

“Tuanku sentiasa prihatin dalam hal-hal yang melibatkan umat Islam. Andai kata ada kes umat Islam tertindas, tidak dibela dari sudut ekonomi atau ditimpa musibah, Tuanku merupakan orang yang pertama yang akan menitahkan kami, institusi agama untuk mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, baru-baru ini.

Salehuddin, yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor, berkata baginda sangat cakna akan keadaan umat Islam, khususnya golongan bawahan dan miskin, serta mahu mereka dikenal pasti supaya bantuan dapat disalurkan secara berkesan.

“Setiap kali berbincang, baginda sentiasa mengingatkan supaya golongan miskin dan fakir tidak diketepikan dan data perlu dikumpulkan supaya kumpulan ini sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bangga melihat Selangor sebagai antara negeri termaju di Malaysia, namun mengingatkan bahawa kejayaan itu tidak boleh diukur berdasarkan pencapaian ekonomi semata-mata, terutama apabila masih terdapat rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

Salehuddin berkata baginda mengambil tahu keadaan kemiskinan bandar, termasuk penduduk yang tinggal di flat uzur dengan keadaan rumah yang hanya mempunyai dua bilik dan dihuni oleh keluarga besar, sekali gus mempersoalkan apa gunanya berbangga dengan kemajuan negeri jika masih ada kelompok rakyat yang terpinggir.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf ketika majlis Ihya' Ramadhan DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Darul Ulum , Gombak pada 6 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Atas keprihatinan itu, Sultan Sharafuddin mengarahkan institusi agama termasuk Lembaga Zakat Selangor untuk cakna dengan menyantuni golongan asnaf supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak, selain mengingatkan agar dasar dan belanjawan kerajaan negeri turut diberi perhatian kepada keperluan perumahan, pendidikan serta kehidupan seharian golongan terpinggir.

Dalam usaha memartabatkan Islam, Salehuddin berkata baginda mahu akidah umat Islam terus terpelihara berdasarkan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, selain mencegah penyebaran ajaran sesat serta fahaman liberalisme dan pluralisme.

Pada masa sama, pengurusan dan pentadbiran institusi agama termasuk masjid dan surau, perlu diperkasakan secara profesional, khususnya dalam aspek pentadbiran dan kewangan, bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi berkenaan.

Baginda turut menekankan pelaksanaan program agama yang menyeluruh, merangkumi masyarakat bandar, luar bandar, kumpulan B40 serta golongan susah supaya manfaat pembangunan dan kebajikan dapat dinikmati tanpa tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Usaha memartabatkan Islam itu turut disertai dengan penekanan terhadap sikap menghormati penganut agama lain bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat, katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Salehuddin berkata baginda mahu perpaduan sesama umat Islam serta hubungan baik antara kaum dengan penganut agama lain menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negara, manakala pemimpin masyarakat perlu menjadi penggerak perpaduan, bukannya mencetuskan perpecahan.

“Tuanku mengharapkan agar pemimpin masyarakat ini, tidak sesekali menjadi dalang bagi memecahbelahkan masyarakat. Mereka yang sepatutnya menggalakkan umat Islam dan juga kaum lain hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Dalam pada itu, generasi muda turut menjadi perhatian Sultan Selangor, yang sering mengingatkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya golongan berkenaan tidak diketepikan dalam perancangan program agama pada peringkat negeri, daerah, masjid dan surau.

Salehuddin berkata program khusus perlu dianjurkan bagi menarik minat anak muda mendekati masjid dan surau melalui aktiviti yang bersesuaian dengan minat mereka, termasuk sukan dan riadah selepas subuh selain usaha jawatankuasa masjid serta surau menyantuni golongan itu dengan mempelbagaikan lagi program yang boleh menarik minat mereka.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga digesa supaya lebih menyantuni anak muda dalam kariah masing-masing. Kita jangan fikirkan hanya generasi dewasa dan generasi lama yang dititikberatkan dalam program pengimarahan masjid,” katanya.

Di samping itu, Salehuddin berkata baginda turut menggesa jawatankuasa masjid dan surau supaya berfikir di luar kotak serta tidak hanya menumpukan perhatian kepada satu golongan masyarakat semata-mata.

Melalui pendekatan itu, masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, tetapi turut menjadi ruang menyemai ilmu, memperkukuh ukhuwah, menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan dan mendekatkan generasi muda kepada agama.

Aspirasi Sultan Selangor itu, katanya, memperlihatkan bahawa pembangunan ummah bukan hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi atau kekuatan institusi agama, tetapi juga melalui keupayaan masyarakat menjaga kebajikan golongan miskin, memelihara perpaduan dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus kemajuan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.