SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Selangor menjangka memuktamadkan keputusan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada akhir tahun ini atau awal 2027.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri sedang berunding dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat membanteras kegiatan pembuangan sampah haram melalui akta tersebut.
Menurutnya lagi, penguatkuasaan ketika ini di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor hanya berdasarkan undang-undang kecil yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 kepada individu yang membuang sampah secara haram.
“Denda RM1,000 ini tidak memberi kesan. Tetapi apabila kita melaksanakan Akta 672 di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pihak yang membuang sampah atau dikenal pasti sebagai ‘ulat sampah’ boleh dikenakan saman antara RM5,000 hingga RM100,000.
“Mereka juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun. Ini merupakan antara tindakan yang bakal kita laksanakan selepas semua urusan (Akta 672) selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Dato’ Dr Ab Halim Tamuri yang ingin mengetahui langkah Kerajaan Negeri menangani pembuangan sampah haram pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Pada 29 Julai lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Akta 672 akan diperluaskan di Selangor secara berfasa bagi membanteras isu pembuangan sampah haram di negeri itu.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah bersetuju dan sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan akta berkenaan bersama Kerajaan Negeri serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu, Suee Lim turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas peruntukan khas RM15 juta kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi tahun ini untuk memperkukuh pengurusan kebersihan di kawasan kampung.
Katanya, peruntukan tersebut membolehkan KDEBWM melaksanakan kerja pengurusan tambahan di kampung yang sebelum ini tidak menerima perkhidmatan berkenaan.
“Kita berharap dengan peruntukan ini, kita dapat mengoptimumkan hasilnya supaya kawasan kampung lebih bersih, termasuk menyediakan tong sampah besar di lokasi yang sepatutnya dan mencukupi.
“Ini bagi meneruskan tradisi menjadikan kampung lebih bersih dan memastikan Selangor sentiasa bersih di mana-mana sahaja,” ujarnya lagi.







