Sultan mahu Selangor terus perluas, tambah baik teknologi WTE

6 Sep 2026, 11:00 AM
Sultan mahu Selangor terus perluas, tambah baik teknologi WTE
Sultan mahu Selangor terus perluas, tambah baik teknologi WTE
Sultan mahu Selangor terus perluas, tambah baik teknologi WTE

SHAH ALAM, 6 SEP: Kerajaan Negeri disaran memberi lebih tumpuan terhadap penerokaan teknologi sisa kepada tenaga (WTE) sebagai pendekatan moden dan mampan bagi menangani isu pengurusan sisa di Selangor.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan pandangan itu selepas berkenan melawat Amager Bakke atau CopenHill, sebuah loji jana kuasa haba dan elektrik berasaskan sisa di Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Menurut Selangor Royal Office menerusi Facebook, Baginda kagum dengan konsep pembangunan Amager Bakke yang bukan sahaja mengurus sisa dan menjana tenaga, malah menyediakan ruang rekreasi untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, Baginda berharap Kerajaan Negeri memberi tumpuan lebih serius terhadap penerokaan teknologi sisa kepada tenaga serta meneliti kaedah terbaik sesuai dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keselamatan, kos, kawalan pencemaran dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan tidak rasmi berkenaan, Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Ketua Pegawai Eksekutif United Plantations Berhad (UP), Dato’ Carl Bek-Nielsen.

Amager Bakke mampu memproses kira-kira 400,000 tan sisa setahun untuk menghasilkan tenaga elektrik serta sistem pemanasan daerah yang membekalkan keperluan kepada puluhan ribu kediaman di Copenhagen.

Loji itu turut dilengkapi sistem rawatan gas serombong bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada proses pembakaran, selain pembangunan teknologi pemerangkapan karbon yang terus diberi perhatian bagi menangani pelepasan karbon dioksida.

Baginda turut tertarik dengan pendekatan loji berkenaan yang mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah pelupusan sisa secara kambus tanah, sekali gus membantu mengurangkan risiko pencemaran larut resap dan masalah bau.

Konsep itu turut menggabungkan fungsi rekreasi apabila bahagian bumbung dan persekitaran loji dibangunkan dengan kemudahan awam seperti cerun ski sepanjang tahun, laluan mendaki serta dinding panjat tebing.

Pandangan dari udara Loji Sisa Ke-Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Selangor Royal Office berkata Baginda turut menekankan kepentingan Selangor sentiasa mengemas kini pengetahuan, kepakaran dan perkembangan teknologi terkini dalam bidang pengurusan sisa serta tenaga diperbaharui.

“Menurut Baginda, langkah itu penting bagi membolehkan Selangor mengadaptasi penyelesaian moden, mampan dan bertanggungjawab demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Selangor sebelum ini mencipta sejarah apabila loji WTE pertama negeri dan terbesar di Asia Tenggara, Jeram 1, mula beroperasi secara rasmi pada 12 Mei lalu.

Loji berkenaan berkeupayaan mengurus sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga elektrik, sekali gus menjadi antara langkah Kerajaan Negeri mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah pelupusan sisa konvensional.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata pengoperasian Jeram 1 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh pengurusan sisa secara mampan menerusi penggunaan teknologi moden.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memotong riben sebagai simbolik Pembukaan Operasi Loji Sisa Ke-Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.