RSPEC perkukuh ekosistem polo, ekuestrian Selangor

26 Sep 2026, 2:05 PM
RSPEC perkukuh ekosistem polo, ekuestrian Selangor
RSPEC perkukuh ekosistem polo, ekuestrian Selangor
RSPEC perkukuh ekosistem polo, ekuestrian Selangor
RSPEC perkukuh ekosistem polo, ekuestrian Selangor

SHAH ALAM, 26 SEPT: Selangor kini mempunyai destinasi baharu bagi pembangunan sukan polo dan ekuestrian apabila Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di Cyberjaya dirasmikan hari ini.

Perasmian disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan berangkat bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Majlis berkenaan diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda Sultan Selangor.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan RSPEC menggabungkan warisan ekuestrian dengan kemudahan rekreasi dan pengalaman berteraskan komuniti, sekali gus membuka ruang baharu bagi pembangunan sukan serta pelancongan sukan di Selangor.

"RSPEC dibangunkan dengan satu visi yang jelas, iaitu mengangkat polo dan ekuestrian ke tahap yang lebih tinggi, di samping mewujudkan sebuah destinasi sukan yang terbuka, aktif dan relevan kepada komuniti.

"Kompleks ini merangkumi sebidang padang polo lengkap bersama trek pasir sepanjang satu kilometer di sekelilingnya, 136 buah kandang kuda, berserta arena dalaman dan luaran," menurut kenyataan itu.

Kemudahan berkenaan dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa bagi menyokong penganjuran kejohanan polo dan ekuestrian berprestij di peringkat domestik serta serantau.

Kenyataan itu turut menyebut RSPEC berperanan memperluas penglibatan komuniti dalam sukan polo dan ekuestrian, selain menjadi destinasi rekreasi.

Sepanjang keberangkatan, Baginda berdua berkenan meninjau pelbagai kemudahan polo dan ekuestrian di kompleks berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan merasmikan arca kuda hasil karya seniman kontemporari, Dato’ Yusof Ghani.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Presiden RSPEC, YDM Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail dan Timbalan Presiden RSPEC, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.