Perpaduan benteng tangkis anasir luar, pengaruh negatif media sosial - Sultan

7 Nov 2026, 3:10 AM
Perpaduan benteng tangkis anasir luar, pengaruh negatif media sosial - Sultan

SHAH ALAM, 7 NOV: Perpaduan dan persefahaman antara rakyat perlu terus diperkukuh bagi menangkis pengaruh anasir luar yang cuba menyemai kebencian serta mencetuskan perpecahan, khususnya menerusi media sosial.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, keharmonian yang ditunjukkan masyarakat ketika meraikan kepelbagaian perayaan merupakan bukti pentingnya semangat toleransi dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.

Menerusi perutusan sempena sambutan Hari Deepavali di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah perayaan seperti itu bukan sekadar diraikan sebagai tradisi, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Semangat saling hormat menghormati, kunjung-mengunjung dan berkongsi kegembiraan hendaklah terus disuburkan demi mempererat ikatan persaudaraan sesama rakyat.

“Mengambil iktibar daripada perkembangan semasa, Baginda percaya bahawa persefahaman dan toleransi yang teguh, sebagaimana yang diperlihatkan setiap kali rakyat meraikan kepelbagaian perayaan, merupakan perisai penting untuk menangkis pengaruh anasir luar, khususnya menerusi media sosial yang cuba menyemai kebencian, mencetuskan perpecahan dan mengganggu gugat keamanan negara,” titah Baginda dalam perutusan tersebut.

Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu, khususnya di Selangor.

Baginda berharap perayaan Deepavali membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada masyarakat, selain menyemarakkan tekad seluruh rakyat untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian Malaysia.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.