Advokasi cegah keganasan wanita, kanak-kanak diperluas sepanjang tahun - EXCO

8 Okt 2026, 4:36 AM
Advokasi cegah keganasan wanita, kanak-kanak diperluas sepanjang tahun - EXCO
Advokasi cegah keganasan wanita, kanak-kanak diperluas sepanjang tahun - EXCO
Advokasi cegah keganasan wanita, kanak-kanak diperluas sepanjang tahun - EXCO

SHAH ALAM, 8 OKT: Advokasi pencegahan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di Selangor diperluas sepanjang tahun, tidak lagi terhad kepada tempoh Kempen 16 Hari Menentang Keganasan, kata EXCO kebajikan masyarakat.

Anfaal Saari berkata pendekatan itu mula dilaksanakan sejak tahun lalu bagi memastikan mesej pencegahan disampaikan secara berterusan, sekali gus memberi impak lebih tinggi kepada kelompok sasaran.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari ditemui ketika Gender Outlook Forum 2026 di Dewan Utama Siswazah UKM Bangi pada 24 September 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Populasi Selangor tinggi menyebabkan kita terima kes keganasan terhadap wanita yang banyak. Kalau dahulu setiap tahun bermula 25 November hingga 10 Disember, kita buat 16 hari menolak keganasan.

“Namun bermula tahun lepas, saya minta kempen ini dilaksana sepanjang tahun. Jadi kesedaran ini bukan hanya pada tarikh tertentu tapi dilaksana setiap masa.

“Polis merupakan antara rakan kerjasama dan advokasi ini diluaskan kepada orang awam, mahasiswa dan pelbagai lagi sektor. Kita mahu mendidik masyarakat mengenai langkah yang boleh diambil mangsa untuk melindungi diri,” katanya.

Kempen 16 Hari Menentang Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak merupakan kempen antarabangsa tahunan yang diraikan setiap 25 November hingga 10 Disember.

Kempen yang bermula pada 1991 itu digunakan individu dan organisasi untuk menyeru pencegahan serta penghapusan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menyampaikan Anugerah Inspirasi Hari Ibu Peringkat Negeri sempena majlis Jelajah Wanita Berdaya Tahan Zon Petaling di Dewan Serbaguna MBSJ SS15, Subang Jaya pada 6 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bercakap kepada Media Selangor, Anfaal berkata usaha mencegah keganasan berasaskan gender turut diterapkan dalam pelbagai program negeri, termasuk Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 yang dilaksanakan di setiap daerah.

“Menerusi siri ini, kita sampaikan pesanan anti keganasan secara kreatif. Kita buat wacana, persembahan teater selain gerakkan penyelia Pusat Wanita Berdaya dengan objektif mengelakkan wanita dizalimi,” katanya.

Sementara itu, Anfaal mengingatkan wanita yang berdepan keganasan supaya tampil membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Katanya, mangsa yang malu atau bimbang untuk hadir ke balai polis boleh membuat laporan secara dalam talian menerusi Skuad Aman Wanita (AMANITA) kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“AMANITA ini seperti komuniti polis yang berhubung dekat dengan komuniti setempat. Dengan kes yang meningkat, kita kena giat sedarkan masyarakat untuk membuat laporan segera selain bantuan kaunseling untuk bantu atasi trauma mangsa,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata peningkatan kes keganasan membabitkan golongan muda, khususnya wanita yang menjadi mangsa individu dikenali, perlu diberi perhatian serius.

Jelasnya, beberapa kejadian kebelakangan ini menunjukkan mangsa mengenali pelaku, termasuk rakan sekolah atau universiti.

Keadaan itu, katanya, wajar diteliti dengan lebih mendalam termasuk kemungkinan wujud unsur keganasan berasaskan gender serta sikap rasa berhak apabila seseorang berdepan penolakan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.