BINGKAS 3.0 ditambah baik, agihan lebih bersasar

23 Nov 2026, 5:09 AM
BINGKAS 3.0 ditambah baik, agihan lebih bersasar
BINGKAS 3.0 ditambah baik, agihan lebih bersasar

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menambah baik agihan kuota Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 3.0 dengan mengambil kira jumlah penduduk, tahap pendapatan isi rumah serta nisbah perbelanjaan kepada pendapatan isi rumah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata pendekatan itu bertujuan memperkukuh penyasaran bantuan berdasarkan tahap keperluan relatif penduduk antara kawasan DUN, tanpa mengukur pendapatan boleh guna pemohon secara individu.

“Selaras pengiktirafan bahawa keperluan dan kerentanan turut berbeza mengikut peringkat kehidupan, Kerajaan Negeri juga bergerak secara berperingkat ke arah sokongan berasaskan kitaran hidup, sebagaimana hala tuju Rancangan Selangor Kedua.

“Pendekatan ini menyesuaikan sokongan dengan keperluan pada peringkat kehidupan yang berbeza, memperkukuh bantuan sasar dan mengurangkan risiko keciciran daripada sistem sokongan serta perlindungan sosial negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari menjawab soalan ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Anfaal memaklumkan sebanyak 20,508 permohonan BINGKAS ditolak bagi tempoh Januari hingga 30 September tahun ini, disebabkan beberapa faktor dengan punca utama melebihi had kelayakan ditetapkan.

Katanya, faktor lain termasuk kegagalan mengemas kini maklumat, tidak memenuhi syarat bilangan dan kategori tanggungan serta pendaftaran pemilih.

“Selain itu, permohonan tidak diluluskan sekiranya pendapatan isi rumah melebihi had kelayakan atau dokumen sokongan yang dikemukakan tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan permohonan.

“Proses semakan dan kelulusan BINGKAS dilaksanakan menerusi Pejabat Penyelaras DUN masing-masing berdasarkan syarat kelayakan serta kuota penerima yang ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 mengumumkan peluasan BINGKAS kepada kira-kira 10,000 individu rentan dengan bantuan RM150 sebulan.

Menurut beliau, pelaksanaan BINGKAS melibatkan peruntukan RM100 juta dengan sasaran keseluruhan 30,000 penerima berdasarkan komposisi dan keperluan isi rumah.

Katanya, penggunaan MyKad sebagai medium transaksi turut akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembayaran menerusi e-dompet.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.