MamaKerja Plus bakal manfaatkan 1,000 ibu bekerja menerusi kerjasama UNICEF

18 Nov 2026, 9:36 AM
MamaKerja Plus bakal manfaatkan 1,000 ibu bekerja menerusi kerjasama UNICEF
MamaKerja Plus bakal manfaatkan 1,000 ibu bekerja menerusi kerjasama UNICEF

SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi menyokong ibu bekerja menerusi ekosistem ekonomi penjagaan, termasuk Inisiatif Pengasuh di Rumah (IMPAK) dan pembangunan program MamaKerja Plus di bawah Belanjawan Selangor 2027.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata usaha itu bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kewangan, malah merangkumi sokongan penjagaan anak serta keperluan keluarga.

“Program insentif MamaKerja ini diberikan sebagai sokongan kepada ibu-ibu bekerja, selaras dengan dasar wanita negeri Selangor untuk memastikan wanita kekal dalam tenaga buruh.

“Pun begitu, ini adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi penjagaan yang kita ingin bangunkan di negeri Selangor. Bermakna bantuan-bantuan berbentuk in-kind seperti latihan kepada pengasuh di rumah menerusi IMPAK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut mengiktiraf keperluan sokongan bagi ibu bekerja yang memikul tanggungjawab penjagaan, justeru memperuntukkan RM500,000 menerusi Bantuan Peralatan Penjagaan dalam Belanjawan Selangor 2027.

Peruntukan itu antaranya bertujuan menyediakan peralatan sokongan seperti pemegang keselamatan (handrail) di dalam tandas dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan urusan penjagaan.

Menurutnya, pelantikan Skuad Rakan Penjaga Selangor turut menjadi antara mekanisme sokongan bagi membantu keluarga mendapatkan maklumat serta memudahkan akses kepada pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan di Selangor.

Beliau berkata permohonan MamaKerja yang masih dalam senarai menunggu akan diberi keutamaan sekiranya terdapat peruntukan tambahan pada tahun depan.

Dalam perkembangan sama, Anfaal berkata Kerajaan Negeri sedang merangka modul program MamaKerja Plus dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Selain daripada itu, kita juga dalam proses untuk merangka modul program bersama dengan pihak UNICEF untuk membangunkan MamaKerja Plus. Projek rintis ini akan melibatkan 1,000 penerima untuk mengikuti program MamaKerja Plus yang dirangka oleh UNICEF,” katanya.

Untuk rekod, insentif MamaKerja bernilai RM1,000 yang dibuka untuk permohonan sejak 17 Ogos lalu menerima sebanyak 25,043 permohonan, sekali gus melebihi dua kali ganda kuota 10,000 penerima yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.