Azalina mahu keganasan terhadap wanita muda diteliti lebih serius

7 Okt 2026, 8:34 AM
Azalina mahu keganasan terhadap wanita muda diteliti lebih serius

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes keganasan membabitkan golongan muda, khususnya wanita yang menjadi mangsa individu dikenali, perlu diberi perhatian serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beberapa kejadian kebelakangan ini menunjukkan mangsa mengenali pelaku, termasuk rakan sekolah atau universiti, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, keadaan itu wajar diteliti dengan lebih mendalam, termasuk kemungkinan wujud unsur keganasan berasaskan jantina serta sikap rasa berhak apabila seseorang berdepan penolakan.

“Sejak kebelakangan ini banyak kematian atau pembunuhan di sekolah, pelajar universiti dan saya tengok secara rambangnya banyak wanita. Kemudian yang melakukan ini ialah orang mereka kenal. Mungkin kawan sedarjah atau pun kawan fakulti.

“Seolah-olah ada keganasan berasaskan jantina dan saya tidak tahu sama ada respons kerana penolakan, cemburu dan sebagainya tapi yang saya khuatir ialah di mana wanita menjadi mangsa kepada situasi keganasan.

“Jadi, saya melihat perkara ini perlu dilihat secara mendalam,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Azalina turut menggesa mangsa keganasan atau buli supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Katanya, tindakan awal penting bagi membolehkan intervensi dibuat lebih cepat dan mengelakkan kejadian lebih serius.

“Disebabkan itu, apabila berlaku sebarang keganasan atau buli, buat laporan terus kerana kita tidak boleh bergantung kepada guru untuk memantau setiap perlakuan pelajar kerana beban tugas pendidik yang sudah banyak,” katanya.

Beliau turut mahu Tribunal Antibuli diperkasa sebagai saluran aduan dan intervensi bagi kes gangguan, buli atau keganasan.

“Pelajar perlu tahu mereka mempunyai saluran mendapatkan bantuan jika laporan mengenai kejadian buli atau gangguan tidak mendapat tindakan sewajarnya daripada pihak sekolah,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.