EXCO: BINGKAS diperluas, boleh diguna di 52 kedai runcit

19 Nov 2026, 4:15 AM
EXCO: BINGKAS diperluas, boleh diguna di 52 kedai runcit
EXCO: BINGKAS diperluas, boleh diguna di 52 kedai runcit

SHAH ALAM, 19 NOV: Penggunaan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) kini diperluas ke 52 kedai runcit tempatan yang berdaftar sebagai panel, sekali gus memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan asas berhampiran kediaman masing-masing.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penambahbaikan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah membantu meningkatkan jumlah pelanggan dan jualan peniaga tempatan.

“Pendekatan ini juga sebagai usaha memastikan pelaksanaan bantuan sosial bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penerima, tetapi turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya dalam kalangan peniaga runcit kecil.

“Setakat ini sebanyak 52 kedai runcit tempatan berdaftar sebagai panel BINGKAS. Selcare selaku agensi pelaksana terbuka menerima penyertaan terutama peniaga kecil dan kedai runcit komuniti ke dalam ekosistem BINGKAS dan Baucar Kita Selangor (BKS), tertakluk kepada syarat dan kriteria penyertaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 18 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa menilai syarat kelayakan dan mekanisme pelaksanaan BINGKAS bagi memastikan bantuan kekal relevan, bersasar serta sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan Negeri juga mengadakan kajian keberkesanan BINGKAS bersama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial atau Social Wellbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Hasil kajian tersebut diterjemahkan melalui penambahbaikan dalam pelaksanaan BINGKAS 3.0 termasuk memperkenalkan kategori penjaga bagi golongan rentan yang akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peluasan BINGKAS kepada kategori individu rentan dengan bantuan RM150 sebulan.

Inisiatif itu menyasarkan kira-kira 10,000 penerima sebagai usaha memperkukuh perlindungan sosial, khususnya bagi golongan yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menurut Amirudin, pelaksanaan BINGKAS melibatkan peruntukan RM100 juta dengan sasaran keseluruhan 30,000 penerima yang dinilai berdasarkan komposisi dan keperluan isi rumah.

Beliau turut memaklumkan penggunaan MyKad sebagai medium transaksi akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pembayaran menerusi e-dompet.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.