
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan Geran Penyelidikan Negeri Selangor dalam usaha memperkukuh pembangunan dasar berasaskan data dan kepakaran tempatan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata geran yang dilaksanakan Selangor Research Institute itu akan menggembleng kepakaran beberapa universiti tempatan bagi menyokong agenda pembangunan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Menurutnya, pengalaman melaksanakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memberikan pengajaran penting kepada Kerajaan Negeri mengenai keperluan perancangan jangka sederhana yang lebih tersusun dan berasaskan data.
“Peranan Kerajaan seharusnya menggembleng kekuatan golongan akademia termasuk pelajar dan penyelidik serta membina kapasiti pasukan penjawat awam berbanding bergantung kepada pihak luar yang mempunyai kepakaran mencadangkan dasar secara runcitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata pelaksanaan geran itu juga akan diselaraskan dengan misi pembangunan yang digariskan dalam RS-2 bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan dan perancangan dasar negeri.
Sementara itu, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Selangor University Network Council (SUNC) sebagai platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara universiti awam dalam membangunkan hala tuju pendidikan tinggi Selangor.
Amirudin berkata penubuhan majlis berkenaan bertujuan menangani budaya bekerja secara berasingan atau in silo dalam sektor pendidikan tinggi yang boleh merugikan mahasiswa dan pensyarah.
Menurutnya, SUNC akan menghimpunkan kepakaran universiti bagi meneliti perubahan industri, selain memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pendidikan masa depan.
“Tumpuan awal akan diberikan kepada amalan terbaik, pembangunan bakat dan pengukuhan inovasi dalam dunia pendidikan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu menyasarkan pembentukan sistem pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa, sekali gus melahirkan generasi baharu yang mampu bersaing pada peringkat global.







