Selangor teruskan bantuan RM500 anak kelahiran negeri, RM1,500 penerima TAWAS

13 Nov 2026, 9:30 AM
Selangor teruskan bantuan RM500 anak kelahiran negeri, RM1,500 penerima TAWAS

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri melalui inisiatif Iltizam Anak Selangor akan terus memberikan RM500 kepada 30,000 anak Selangor melalui akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dengan peruntukkan sebanyak RM3 juta, umum Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, dana tersebut boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai umur 18 tahun demi membudayakan pengurusan kewangan yang berhemah akibat kenaikan kos sara hidup.

"Kenaikan kos sara hidup sangat memberi kesan terhadap golongan rakyat berpendapatan rendah sekiranya tiada perancangan kewangan dibuat dari awal.

"Demi membudayakan pengurusan kewangan yang berhemah, Iltizam Anak Selangor yang diperkenalkan akan terus memberikan RM500 kepada 30,000 anak Selangor melalui pembukaan akaun simpanan SSPN Prime. Dana ini boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai umur 18 tahun. Bagi tujuan ini, sebanyak RM3 juta diperuntukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengumumkan seramai 21,295 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang juga merupakan tahun pertama Generasi Harapan yang lahir pada tahun 2008 menerima bantuan sebanyak RM1,500 bulan lalu.

"Tahun ini merupakan tahun pertama Generasi Harapan yang lahir pada tahun 2008 dan sebagai ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima bantuan sebanyak RM1,500. Pada bulan lalu, seramai 21,295 ahli TAWAS Generasi Harapan yang berumur 18 tahun telah menerima RM1,500," katanya.

Dari tempoh tahun 2008 sehingga 2018, seramai 365,212 anak-anak Selangor telah menjadi ahli TAWAS.

Amirudin berkata bagi tahun 2027, seramai 21,484 ahli TAWAS yang berumur 18 tahun akan menerima RM1,500 sebagai tunas untuk membangunkan generasi muda yang lebih celik menguruskan kewangan kendiri dengan peruntukan sebanyak RM32.226 juta.

TAWAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada anak kelahiran Selangor apabila mencapai usia 18 tahun.

Program itu kemudian digantikan dengan inisiatif Iltizam Anak Selangor yang menyediakan simpanan awal RM500 ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), selain membolehkan ibu bapa menambah simpanan bagi kegunaan pendidikan anak pada masa depan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.