Penduduk: Status baharu Kajang perlu bawa perubahan

22 Sep 2026, 9:00 AM
Penduduk: Status baharu Kajang perlu bawa perubahan

SHAH ALAM, 22 SEPT: Hasrat menaik taraf Kajang kepada status bandar raya disambut baik, namun penambahbaikan pengangkutan awam perlu diberi perhatian supaya perubahan status bukan sekadar memberi imej baharu.

Menurut pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 3 Kajang Utama, kemudahan awam di Kajang secara keseluruhannya dilihat mencukupi, namun masih perlu ditambah baik bagi memenuhi keperluan penduduk.

Dr Kamarul Azman Abd Salam berkata antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah perkhidmatan bas supaya lebih sistematik dan meliputi kawasan yang lebih luas, terutama bagi memberi kemudahan kepada golongan rentan.

"Perkhidmatan bas patut disebar luas sebab ia kemudahan untuk orang-orang tua, OKU. Nampaklah kita ambil berat. Kedua, laluan-laluannya pula misal kata pejalan kaki di Bandar Kajang sendiri, adakah sudah 100 peratus?" katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 3 Kajang Utama, Dr Kamarul Azman Abd Salam

Menurutnya, penambahbaikan pengangkutan awam juga perlu dilihat bersama isu kesesakan lalu lintas yang berlaku di beberapa kawasan Kajang, khususnya pada waktu puncak.

Beliau berkata perancangan bandar perlu mengambil kira kepadatan penduduk, termasuk jumlah murid di sekolah yang boleh menyumbang kepada kesesakan ketika waktu menghantar dan mengambil anak.

"Saya melihat (keperluan) untuk 'sit down' antara perancang bandar dengan pakar tertentu di MPKj sendiri, persatuan atau wakil penduduk. Kena tengok apa penyebab kesesakan khususnya waktu pagi nak pergi sekolah.

"Ada juga kawasan yang pada saya tak perlu pun letak lampu isyarat, cukup dengan bonggol. Tapi bila ada lampu isyarat, ditambah dengan tempoh yang lama, itu yang jadi sesak," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata peningkatan status Kajang kepada bandar raya perlu disertai kerjasama lebih erat antara pihak berkuasa tempatan dengan ketua komuniti bagi memastikan isu dan kebajikan penduduk dapat ditangani.

"Kami melihat perlunya ada kebersamaan dengan ketua-ketua komuniti termasuk ketua JMB, ketua badan pengurusan, ketua KRT. Walaupun (peranan) kami ini tak besar tapi ia lebih kepada kebajikn.

"Saya yakin dengan adanya kebersamaan, keadaan akan lebih berstruktur dan mengharmonikan penduduk melalui persatuan atau NGO yang bergerak besama untuk merapatkan antara komuniti," katanya.

Menyentuh isu warga asing, Dr Azman berkata pihaknya memahami Kajang menjadi antara lokasi tumpuan golongan berkenaan, namun kerjasama pelbagai pihak diperlukan sekiranya terdapat aduan yang menjejaskan ketenteraman penduduk.

"Setakat ini kami tidak dapat lagi aduan berkaitan (jenayah) tapi saya nampak kehadiran warga asing sedikit mencemarkan imej status bandar raya sebab kita terlalu banyak flat kos rendah.

"Flat ini pemiliknya tempatan tapi disewakan kepada pendatang. Itu antara yang di luar kawalan kita. Tapi kalau ada yang mengganggu ketenteraman, itu kita kena bertanggungjawab," katanya.

Harapan Dr Azman, peningkatan status Kajang kepada bandar raya akan membawa perubahan yang dapat dirasai penduduk, termasuk dari segi perkhidmatan, peluang pekerjaan dan imej kawasan.

"Selain itu, Kajang hampir dengan institusi pendidikan sama ada swasta atau awam termasuk UKM. Jadi status baharu akan merancakkan lagi Kajang sebagai hab pendidikan," katanya.

Kajang dijangka mencapai status bandar raya dalam tempoh satu hingga 1.5 tahun, sekali gus bakal menjadi bandar raya kelima di Selangor.

EXCO kerajaan tempatan berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kini dalam persiapan ke arah itu selepas memenuhi 15 kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dato' Ng Suee Lim berkata MPKj turut berada pada landasan baik dalam memenuhi kriteria lain termasuk aspek kelestarian, infrastruktur, Matlamat Pembangunan Mampan, pendidikan, ekopelancongan dan warisan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.