Tangani isu kesesakan, jalan rosak persediaan MPKj berstatus bandar raya

16 Sep 2026, 3:00 AM
Tangani isu kesesakan, jalan rosak persediaan MPKj berstatus bandar raya
Tangani isu kesesakan, jalan rosak persediaan MPKj berstatus bandar raya

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kesesakan lalu lintas, kerosakan jalan dan anjing liar antara isu yang perlu ditangani Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ekoran pertukaran status kepada bandar raya.

Menurut ahli majlis Zon 19, MPKj pada tahap 80 peratus bersedia beralih status, tetapi baki 20 peratus memerlukan penambahbaikan dan penyelesaian isu yang dihadapi penduduk.

Sangeetha A/P Chandra Mohan berkata penyelesaian isu itu penting kerana pertukaran status kepada bandar raya bakal meningkatkan jangkaan penduduk terhadap tahap perkhidmatan MPKj.

"Bila kadar cukai naik, status pun dah naik ke bandaraya, tentu jangkaan mereka pun tinggi. Jadi MPKj kena ada perancangan betul untuk menyelesaikan masalah (sedia ada) ini dahulu," katanya kepada Media Selangor.

Pada 8 September, EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata Kajang dijadual mencapai status bandar raya dalam satu hingga 1.5 tahun, sekali gus bandar raya kelima di Selangor.

Sangeetha berkata pertukaran status memberi kelebihan dari segi peruntukan sekali gus membantu MPKj meningkatkan taraf hidup rakyat terutama pembangunan infrastruktur dan landskap.

Selain itu, beliau menyarankan supaya lebih banyak program mendekati rakyat dijalankan bagi memberi ruang kepada penduduk menyampaikan masalah dan keperluan mereka dengan lebih mudah.

"Harap tahap perkhidmatan MPKj dipertingkat, infrastruktur diperbaiki dan dinaik taraf. Penduduk juga tolong kerjsama dengan MPKj dan semua ahli majlis," katanya.

Beliau mengakui kerosakan jalan dan kesesakan lalu lintas yang menjadi antara aduan penduduk kerap berlaku di Bandar Teknologi Kajang yang menempatkan kawasan perindustrian.

"Kenderaan berat memang banyak yang guna kemudian mesti jalan itu rosak. Setiap kali rosak, MPKj kena buat kerja penurapan dan penampalan semula," katanya sambil menambah pihaknya mempertimbang penggunaan jalan konkrit di situ.

Katanya, kesesakan termasuk di Bandar Teknologi Kajang turut diberi perhatian, khususnya berkaitan penyelarasan tempoh lampu isyarat bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya.

Mengenai isu anjing liar, Sanggeta berkata masalah itu berlaku ekoran banyak pembangunan baharu tetapi usaha giat dijalankan termasuk kerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.