SHAH ALAM, 26 OKT: Kegiatan pembuangan sampah haram di Jalan Kesuma 2/2, Kajang terus berulang meskipun kerja pembersihan telah dilaksanakan beberapa kali oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Ahli Majlis MPKj Zon 23 Samsol Bahari berkata pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dicadangkan bagi meningkatkan pemantauan, mengesan pelaku untuk tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya, kedudukan kawasan yang agak terpencil, gelap dan sunyi terutama pada waktu malam dipercayai memudahkan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan lokasi itu sebagai tempat pembuangan sampah.
“Aduan mengenai lokasi itu berserta gambar telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj untuk tindakan pembersihan.
“Antara sampah yang ditemukan termasuk sampah pukal, sisa buangan peniaga tepi jalan dan sampah kebun,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Selain itu, Samsol turut mencadangkan pemasangan papan tanda larangan sebagai langkah tambahan bagi mencegah kegiatan itu daripada terus berulang.
Sebelum ini, isu berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial yang mendakwa timbunan sampah di kawasan tersebut turut menarik kehadiran haiwan liar.
Pengguna terbabit turut menggesa orang ramai supaya menghentikan perbuatan membuang sampah sesuka hati dan bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran.







