Kajang dijangka jadi bandar raya kelima Selangor dalam 1.5 tahun

8 Sep 2026, 12:00 PM
Kajang dijangka jadi bandar raya kelima Selangor dalam 1.5 tahun
Kajang dijangka jadi bandar raya kelima Selangor dalam 1.5 tahun
Kajang dijangka jadi bandar raya kelima Selangor dalam 1.5 tahun
Kajang dijangka jadi bandar raya kelima Selangor dalam 1.5 tahun

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kajang dijangka mencapai status bandar raya dalam tempoh satu hingga 1.5 tahun, sekali gus bakal menjadi bandar raya kelima di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kini dalam persiapan ke arah itu selepas memenuhi 15 kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Antaranya jumlah penduduk. Sekiranya kita ingin melangkah ke bandar raya, jumlah penduduk tidak boleh kurang daripada 500,000 dan sekarang Kajang mempunyai 1.1 juta penduduk, sudah melebihi sasaran.

"Dari segi pendapatan pula, ia perlu stabil dan sejak tiga tahun lalu MPKj mencatat pendapatan melebihi RM200 juta setiap tahun," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Suee Lim berkata MPKj turut berada pada landasan baik dalam memenuhi kriteria lain termasuk aspek kelestarian, infrastruktur, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pendidikan, ekopelancongan dan warisan.

Menurutnya, kertas cadangan menaik taraf MPKj dijangka dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Oktober untuk pertimbangan sebelum permohonan dikemukakan kepada KPKT.

"Selepas mendapat kelulusan MMKN, mereka akan mengemukakan permohonan kepada KPKT dan melalui beberapa peringkat seterusnya.

"Kita jangka dalam tempoh setahun hingga setahun setengah, sekiranya tiada halangan dan mengikut garis masa, kita dapat menzahirkan impian Kajang sebagai bandar raya kelima Selangor," ujarnya.

Beliau berkata Kajang turut mempunyai kelebihan sebagai hab pendidikan dengan kewujudan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Kajang serta Bangi, selain memiliki kawasan ekopelancongan dan tarikan warisan.

"Kajang mempunyai banyak universiti, sama ada IPTS atau IPTA, selain kawasan ekopelancongan dan warisan. Kebanyakan daripada 15 kriteria yang ditetapkan, termasuk berkaitan perkhidmatan, kini berada pada landasan menuju status bandar raya," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.