
KAJANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berharap Belanjawan Selangor 2027 memberi tumpuan kepada usaha menangani banjir, penyelenggaraan jalan raya dan menaik taraf kemudahan awam yang memerlukan peruntukan besar.
Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata sokongan Kerajaan Negeri penting bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan projek dan kerja penambahbaikan yang tidak mampu ditampung melalui peruntukan sendiri.
“Kita berharap limpahan dan impak Belanjawan Selangor 2027 turut dirasai PBT, terutama dalam membantu menyelesaikan keperluan di peringkat tempatan.
“Antara perkara yang boleh kita kemukakan ialah keperluan berkaitan isu banjir seperti projek tebatan banjir dan perkara lain yang memerlukan bantuan Kerajaan Negeri melalui peruntukan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pagi Tanpa Kenderaan MPKj sempena Hari Karnival dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 (HPPK2026) di Stadium Kajang, hari ini.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
Menurut Nazli, bantuan menerusi peruntukan negeri membolehkan PBT melaksanakan projek dan kerja penambahbaikan berdasarkan keperluan setempat, khususnya melibatkan isu yang memerlukan dana lebih besar.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan penyelenggaraan jalan raya turut memerlukan penyelarasan antara agensi berikutan tidak semua laluan berada di bawah bidang kuasa PBT.
“Bagi sesetengah kawasan di Selangor, bukan semua jalan di bawah bidang kuasa PBT kerana ada yang di bawah Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sehubungan itu, perkara berkaitan perlu dibawa kepada perhatian negeri bagi mendapatkan penyelesaian mengikut bidang kuasa pihak bertanggungjawab,” katanya.







