KAJANG, 31 OKT: Selepas hampir sedekad tidak dianjurkan, Program Pagi Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kembali memeriahkan Bandar Kajang dengan menarik penyertaan lebih 1,000 orang menerusi acara larian ria dan jalan santai di Dataran MPKj @ Stadium Kajang, pagi tadi.
Yang Dipertua MPKj, Nazli Md Taib berkata penganjuran semula program itu bertujuan menghidupkan suasana Bandar Kajang menerusi pelbagai aktiviti riadah dan kemasyarakatan.
"Hari Tanpa Kenderaan pertama kali dianjurkan MPKj di Kajang ialah pada tahun 2017.
"Selepas hampir sedekad, MPKj anjurkan semula program ini dengan pebagai aktiviti termasuklah senamrobik, zumba, cabutan bertuah dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak bawah 12 tahun," katanya.
Menurut Nazli lagi, sebanyak 1,000 helai baju disediakan secara percuma kepada peserta larian ria dan jalan santai, namun kesemuanya habis diagihkan kepada mereka yang mendaftar lebih awal.
"Semua baju telah habis diedarkan kepada peserta yang hadir mendaftar awal," katanya.
Program Pagi Tanpa Kenderaan MPKj 2026 turut diadakan bersempena Hari Karnival dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 (HPPK2026) yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Nazli berkata MPKj bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menjayakan karnival berkenaan, termasuk penyediaan tapak stadium, kawalan trafik dan pengurusan sampah.
Menerusi kerjasama itu, seramai 300 peniaga dan penjaja turut diberi peluang memasarkan produk masing-masing di pekarangan stadium tanpa dikenakan bayaran permit.
"Dengan sasaran 50,000 pengunjung sepanjang karnival diadakan, peniaga dan penjaja diberi peluang untuk menjual dan mempromosikan produk mereka di peringkat antarabangsa," katanya.








