SHAH ALAM, 16 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita sebuah lori yang dikesan membuang sisa binaan secara haram, selain mengorek laluan masuk di beberapa lokasi bagi menghalang kemasukan kenderaan ke tapak pembuangan sampah haram.
MPKj memaklumkan tindakan itu dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu Tapak Pelupusan Sampah Haram melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDT) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Lori berkenaan disita ketika didapati menjalankan aktiviti pembuangan sisa binaan di Stor RORO, Jalan Laman Kesuma.
“Sitaan dibuat di bawah UUK 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007, berkaitan perbuatan membuang sampah di tempat awam atau lokasi yang tidak dibenarkan MPKj,” katanya di Facebook.
Dalam operasi sama, MPKj turut mengambil tindakan pencegahan dengan mengorek laluan masuk ke beberapa tapak sampah haram bagi menghalang lori dan kenderaan daripada memasuki kawasan berkenaan.
“Antara lokasi terlibat ialah tapak pelupusan sampah haram di Taman Kema Cahaya, Batu 9, Hulu Langat serta dua lokasi di Jalan Laman Kesuma.
“Selain itu, di Jalan Laman Kesuma berhampiran Rumah Pangsa Pinggiran Delima, sebuah pondok kawalan dan pagar turut dirobohkan,” katanya.
Menurutnya, PDT Hulu Langat akan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah terlibat, manakala Jabatan Kejuruteraan MPKj akan mengambil tindakan berkaitan kerja tanah tanpa kebenaran.
“Jabatan Perancangan dan Pembangunan MPKj akan mengambil tindakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), manakala LUAS akan mengambil tindakan mengikut enakmen berkaitan,” katanya.
Selain itu, SPRM akan meneliti keperluan bagi pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara lebih bersepadu dan menyeluruh dengan melibatkan keseluruhan bidang kuasa agensi berkaitan di peringkat negeri, memandangkan bidang kuasa yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah terhad.






