Tanah runtuh Jalan Nilam: Kawasan ditutup sementara tunggu laporan MPKj

15 Okt 2026, 6:00 AM
Tanah runtuh Jalan Nilam: Kawasan ditutup sementara tunggu laporan MPKj
Tanah runtuh Jalan Nilam: Kawasan ditutup sementara tunggu laporan MPKj

SHAH ALAM, 15 OKT: Kawasan tanah runtuh di Jalan Nilam, Kajang ditutup sementara bagi memastikan keselamatan orang ramai sementara menunggu laporan penilaian risiko Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Wakil rakyatnya, David Cheong berkata laporan itu diperlukan bagi menentukan keadaan struktur tanah dan tembok penahan yang runtuh.

“Tempat runtuhan kita sudah tutup. Jadi tunggu laporan MPKj dalam masa terdekat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan air dalam tanah, selain kemungkinan struktur tembok yang kurang kukuh dan sistem saliran tidak mencukupi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong turun padang meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Nilam pada 13 Oktober 2026. Foto Facebook David Cheong

“Mungkin dalam tanah ada air dan menyebabkan tekanan yang kuat. Dinding yang dibina juga mungkin kurang kuat menyebabkan tekanan dan jatuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar kejadian serta tahap kerosakan masih menunggu pengesahan MPKj.

David menjelaskan kejadian berlaku di kawasan perniagaan berhampiran deretan kedai dan bukannya kawasan perumahan.

“Penduduk dalam keadaan baik sebab sana kedai. Berhadapan kedai ada orang parkir kereta semasa kejadian, jadi runtuhan terkena pada kereta,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan enam kenderaan terjejas selepas tembok penahan tanah dianggarkan setinggi lima meter runtuh kira-kira jam 5 petang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila tembok berkenaan gagal menahan pergerakan tanah susulan hujan lebat sejak jam 3 petang.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.