MB: Kerajaan Negeri hasrat teruskan Program Nutrisi Selangor tahun depan

9 Sep 2026, 3:43 AM
MB: Kerajaan Negeri hasrat teruskan Program Nutrisi Selangor tahun depan
MB: Kerajaan Negeri hasrat teruskan Program Nutrisi Selangor tahun depan

GOMBAK, 9 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) tahun depan dengan beberapa penambahbaikan baharu serta keperluan tambahan. 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan akan dibincangkan bersama pada sesi Dialog Belanjawan Selangor selepas menerima maklum balas daripada pihak sekolah.

“Insya-Allah. Saya akan bawa dalam Dialog Belanjawan yang akan diadakan. Kita lihat respon dan maklum balas dari pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Apa penambahbaikan dan keperluan tambahan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Nutrisel di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar, dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin.

Terdahulu, Amirudin menyempurnakan simbolik penyerahan Nutrisel di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia selain meluangkan masa makan bersama pelajar di kantin sekolah SMK Gombak Setia.

Program Nutrisel yang diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor telah bermula secara serentak di 932 sekolah di Selangor pada 3 Ogos lalu.

Seramai 104,640 murid dan pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 menerima manfaat program Nutrisel, dengan bantuan makanan percuma disediakan pada setiap Isnin dan Khamis.

Program yang bermula sehingga Oktober depan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM12.5juta.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentang pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lalu, diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.