Subsidi yuran 50 peratus tingkatkan kemasukan pelajar ke UNISEL, UIS

23 Jun 2026, 7:00 AM
Subsidi yuran 50 peratus tingkatkan kemasukan pelajar ke UNISEL, UIS
Subsidi yuran 50 peratus tingkatkan kemasukan pelajar ke UNISEL, UIS
Subsidi yuran 50 peratus tingkatkan kemasukan pelajar ke UNISEL, UIS

SHAH ALAM, 23 JUN: Inisiatif Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) yang menawarkan subsidi yuran pengajian 50 peratus memberi impak positif apabila kemasukan pelajar, khususnya anak Selangor, ke Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) menunjukkan peningkatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu melibatkan pembayaran separuh yuran pengajian oleh Kerajaan Negeri, manakala baki kos ditampung melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang berurusan dengan PTPTN bagi memastikan pembayaran 50 peratus yuran berkenaan dapat dibuat lebih awal setiap tahun.

“Kerajaan Negeri sedang berurusan dengan PTPTN bagi memastikan bayaran 50 peratus yuran dibuat lebih awal setiap tahun supaya pelajar tidak menanggung kadar faedah yang lebih tinggi.

“Kita akan bayarkan 50 peratus yuran tersebut setiap tahun lebih awal supaya mereka tidak terbeban dengan nilai faedah yang besar daripada PTPTN.

"Paling tidak, negeri telah membantu menyediakan 50 peratus daripada kos pendidikan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan Sidang Khas Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri turut merancang memperluaskan manfaat subsidi itu dengan tambahan peruntukan RM17 juta seperti melalui inisiatif Biasiswa Pendidikan Kita Selangor seperti yang diumumkan pada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua.

Katanya, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi lain melalui kerjasama dengan persatuan mahasiswa negeri serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing.

“Selain UIS, UNISEL dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), kita akan menggunakan tambahan RM17 juta ini supaya bantuan 50 peratus turut meliputi anak-anak Selangor yang sedang belajar dan memerlukan suntikan kewangan.

“Walaupun kita belum dapat menyediakan pendidikan percuma sepenuhnya, sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri berjaya membantu menampung 50 peratus kos pendidikan mereka,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM17 juta menerusi inisiatif Biasiswa Pendidikan Kita Selangor bagi membantu mahasiswa dan mahasiswi cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang strategik yang menjadi keutamaan pembangunan negeri.

Amirudin ketika membentangkan pakej pengukuhan fasa kedua berkata insiatif berkenaan diwujudkan bagi memastikan anak Selangor yang berpotensi tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan.

Beliau memberitahu, antara bidang yang diberikan tumpuan termasuk sektor elektronik dan elektrik, sains hayat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan serta automasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.